
JENGKA, 7 Julai- Pengumuman tujuh inisiatif strategik sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendapat sambutan positif warga peneroka di Maran, Pahang,
- Inisiatif dijangka meningkatkan kebajikan peneroka, manfaat generasi baharu dan memperkukuh pembangunan FELDA masa depan.
- Warga berharap pelaksanaan segera, lebih banyak infrastruktur, kemudahan dan kerja baik pulih bangunan sedia ada.
- Pembaikan perumahan petugas disambut baik kerana meningkatkan motivasi, keselesaan dan semangat kerja warga FELDA.
- Pemberian geran RM990 juta, peruntukan melebihi RM1 bilion pada 2027 dan tambahan RM150 juta bagi perumahan generasi baharu.
Rata-rata mereka menyifatkan inisiatif berkenaan mampu meningkatkan kebajikan peneroka, generasi baharu serta memperkukuh pembangunan FELDA pada masa hadapan.
Peniaga, Wan Nur Fadila Wan Fauzi berkata pengumuman itu memberi kegembiraan kepada warga FELDA, selain berharap pelaksanaannya dapat dibuat segera.
“Dengan pengumuman Perdana Menteri tadi, kami sangat berasa gembira dengan kemudahan-kemudahan yang akan dibuat di FELDA. Kami berharap ia dapat ditunaikan dengan segera.
“Kami juga berharap lebih banyak infrastruktur, kemudahan dan kerja baik pulih bangunan sedia ada dapat dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, petugas FELDA, Mohd Iqbal Abd Malib berkata pengumuman berkaitan perumahan petugas memberi semangat kepada warga kerja FELDA.
“Sesungguhnya ia amat menggembirakan keseluruhan petugas FELDA untuk mendapatkan rumah yang lebih baik. Dengan adanya perumahan yang lebih baik, ia membantu meningkatkan motivasi serta keselesaan petugas,” katanya.
Bagi Pembantu Pengurusan Murid, Zarwidawati Zakaria, kedatangannya dari jauh ke sambutan itu berbaloi selepas mendengar pengumuman yang dibuat kerajaan.
“Kami bersyukur dengan apa yang disarankan oleh Perdana Menteri. Kedatangan kami dari jauh berbaloi dengan apa yang diumumkan hari ini,” katanya.
Pembantu Penerangan, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad pula berkata inisiatif berkenaan memberi harapan baharu khususnya kepada generasi kedua FELDA.
“Inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri sedikit sebanyak mengubah perspektif dan kedudukan terutama generasi kedua FELDA, apabila beliau menekankan mengenai penempatan untuk generasi kedua, di samping inisiatif lain yang memberi kelebihan kepada peneroka,” katanya.
Antara inisiatif diumumkan termasuk geran RM990 juta kepada FELDA, peruntukan melebihi RM1 bilion pada 2027, tambahan RM150 juta bagi Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA, selain pembaikan perumahan petugas, pendidikan dan literasi digital.
Pengumuman itu dibuat ketika Perdana Menteri merasmikan Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, Maran, hari ini.