
DALLAS, 12 September – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sedia membenarkan syarikat automotif China membuka kilang pembuatan di negara berkenaan, walaupun langkah itu dibantah keras pembuat dasar dan pengeluar tempatan.
- Trump tidak mahu pengeluar automotif China mendirikan kilang di Mexico semata-mata untuk mengeksport kenderaan ke AS.
- Beliau menyatakan beliau bukan menentang kenderaan dari China.
- Senator Elissa Slotkin anggapnya 'kesilapan strategik'; Trump tolak dakwaan sebagai 'berita palsu' dan kata pentadbirannya halang kemasukan kenderaan China.
“Sekiranya China mahu datang dan membuka kilang untuk mengeluarkan kenderaan mereka di sini, saya tiada halangan,” kata Trump dalam satu wawancara menerusi program The Ingraham Angle terbitan Fox News yang disiarkan pada Jumaat.
Bagaimanapun, Trump menegaskan bahawa beliau tidak mahu pengeluar automotif China mendirikan kilang di Mexico semata-mata untuk mengeksport kenderaan berkenaan ke pasaran AS.
“Saya bukannya menentang kenderaan dari China,” katanya.
Kenyataan berkenaan dibuat susulan dakwaan Senator Elissa Slotkin dari Michigan bahawa terdapat desas-desus Trump merancang untuk membenarkan penjualan kereta buatan China di pasaran AS sebagai sebahagian daripada perjanjian lebih besar yang sedang dirundingkan.
Slotkin menyifatkan langkah berkenaan sebagai satu “kesilapan strategik”.
Bagaimanapun, Trump menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai “berita palsu”, sambil menegaskan bahawa pentadbirannya sebelum ini telah berjaya menghalang kemasukan kenderaan dari China ke AS. -REUTERS