
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Kerajaan sedang meneliti pindaan terhadap Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memastikan peruntukan itu lebih selaras dengan prinsip keadilan kanak-kanak serta amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
- Kerajaan MADANI komited memastikan pindaan mengimbangi keadilan, keselamatan awam, kebajikan kanak-kanak dan kepatuhan kepada hak asasi manusia.
- Perbincangan merangkumi penetapan tempoh tahanan lebih jelas, mekanisme semakan tahunan, serta pendekatan berteraskan pemulihan dan integrasi semula.
- Jawatankuasa khas dianggotai kementerian, agensi kerajaan, badan profesional perundangan, SUHAKAM dan UNICEF sebagai pihak berkepentingan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, Kerajaan MADANI komited memastikan sebarang pindaan yang dicadangkan kelak dapat mengimbangi aspek keadilan, keselamatan awam dan kebajikan kanak-kanak selaras dengan komitmen Malaysia terhadap hak asasi manusia.
“Pada masa ini, Kerajaan sedang berada dalam fasa penelitian dan perbincangan dasar berhubung cadangan pindaan kepada Seksyen 97 Akta 611.
“Ianya termasuk meneliti isu-isu seperti penetapan tempoh tahanan yang lebih jelas, mekanisme semakan tahunan, serta pendekatan yang lebih berteraskan pemulihan dan integrasi semula kanak-kanak ke dalam masyarakat,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan.
Tambahnya lagi, Jawatankuasa Khas Kajian dan Pindaan Seksyen 97 Akta 611itu dianggotai wakil kementerian dan agensi kerajaan, badan profesional perundangan serta pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(SUHAKAM) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).