
JOHOR BAHRU, 7 Julai – Majoriti laporan polis yang diterima sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat ini, membabitkan kes khianat.
- Majoriti laporan polis sepanjang tempoh kempen PRN Johor melibatkan kes khianat.
- Laporan termasuk kerosakan peralatan kempen, bahan kempen dan papan iklan parti politik.
- Semua laporan disiasat di bawah Seksyen 435, 426 dan 427 Kanun Keseksaan dan tindakan diambil jika perlu.
- Statistik penuh jumlah laporan dan kertas siasatan akan diumumkan menerusi kenyataan media selepas proses pengundian tamat.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, antara kes yang dilaporkan ialah kerosakan terhadap peralatan kempen, bahan kempen dan papan iklan parti politik.
Beliau berkata, semua laporan yang diterima disiasat mengikut seksyen 435, 426 dan 427 Kanun Keseksaan selain tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.
“Kita (polis) setakat ini masih dalam siasatan. Sekarang, saya pun tidak boleh ulas banyak perkara yang masih lagi kita teliti untuk kita lengkapkan kertas siasatan,” ujarnya.
Datuk Ab Rahaman berkata, statistik penuh mengenai jumlah laporan polis serta kertas siasatan yang dibuka akan diumumkan dalam satu kenyataan media selepas tamat proses pengundian pada pukul 5 petang ini.