
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) akan diperkasa sebagai pusat kecemerlangan diplomasi bertaraf dunia menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Pelan Strategik Kementerian Luar Negeri 2026-2030.
- Pemodenan program latihan, pengukuhan penyelidikan dan penggunaan teknologi terkini memastikan IDFR kekal relevan dengan perkembangan global.
- Sejak 2024, IDFR anjur tujuh syarahan, empat forum, tiga meja bulat, seminar serta terbit lima buku dan jurnal akademik.
- Anjakan kerjasama serantau termasuk Forum on ASEAN dan pelancaran buku The Rising Sun disertai syarahan oleh Presiden Timor-Leste.
- Sebanyak 25 negara telah memeterai MoU dan pertukaran nota bagi memperluas kerjasama latihan serta penyelidikan diplomasi.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, usaha itu meliputi pemodenan program latihan, pengukuhan penyelidikan dan penggunaan teknologi terkini bagi memastikan IDFR kekal relevan dengan perkembangan global.
“Sejak tahun 2024 hingga kini, IDFR telah menganjurkan tujuh siri Syarahan Ulung/Awam, empat forum, tiga sesi perbincangan meja bulat dan seminar serta menerbitkan lima buah buku dan jurnal yang menyumbang kepada pengembangan ilmu dalam bidang diplomasi dan hubungan antarabangsa. ”
“Pada April 2026, IDFR telah menganjurkan Forum on Asean: ASEAN Centrality and Cross Regional Cooperation. (Manakala) Pada 16 Jun 2026, pelancaran buku terbitan IDFR, The Rising Sun: Timor-Leste’s journey to peace and development telah dilaksanakan dan disertai dengan Syarahan Ulung oleh Tuan Yang Terutama Jose Ramos Horta, President Timor-Leste,” jelas beliau.
Datuk Lukanisman berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) berhubung usaha kementerian bagi menaik taraf IDFR sebagai salah satu institusi penyelidikan dan latihan diplomasi bertaraf dunia.
Menurut beliau, sehingga kini, sebanyak 25 negara telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) serta pertukaran nota dengan IDFR bagi memperluas kerjasama dalam latihan dan penyelidikan diplomasi.