
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Empat dekad legasi seni Datuk Aishah diraikan penuh gemilang menerusi konsert “Aishah 40 Chapters of Love” yang berlangsung di ibu negara.
- Sokongan padu peminat jadi kekuatan utama, menggerakkan Datuk Aishah terus berkarya dan mencipta detik penuh emosi di pentas.
- Konsert berkonsep penceritaan muzik, menyusun medley pelbagai genre dan warisan budaya yang membawa penonton menyelusuri perjalanan seni.
- Momen paling menyentuh termasuk duet Ara Johari, kemuncak dengan lagu ikonik serta susunan muzik segar oleh Pengarah Muzik Sharon Paul.
Konsert istimewa yang dianjutkan Vox Nation Live itu bukan sekadar menghimpunkan rangkaian lagu malar segar yang telah mewarnai perjalanan seni beliau.
Ia juga merupakan simbolik penghargaan penuh bermakna terhadap sumbangan seorang ikon yang telah mencorakkan landskap muzik tanah air selama empat dekad.
Datuk Aishah menyifatkan malam tersebut sebagai antara detik paling bermakna dalam perjalanan seninya.
Sokongan peminat yang tidak pernah putus menjadi kekuatan utama yang mendorong beliau untuk terus berkarya sehingga hari ini.
“Empat puluh tahun adalah satu perjalanan yang panjang, penuh suka, duka dan kenangan yang membentuk diri saya sebagai seorang anak seni.
“Melihat begitu ramai peminat yang masih bersama saya hingga hari ini benar-benar menyentuh hati. Saya amat bersyukur dapat berkongsi malam yang begitu indah bersama mereka.
“Setiap tepukan, setiap nyanyian dan setiap senyuman yang saya lihat malam ini akan saya simpan sebagai kenangan yang paling berharga. Terima kasih kerana terus menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup dan muzik saya,” katanya.
Meskipun berlangsung di sebuah dewan berskala besar, suasana sepanjang konsert tetap terasa intim, seolah-olah menghimpunkan sebuah keluarga besar yang berkongsi kenangan dan kasih yang sama terhadap figura seni yang disegani ini.
Peminat setia dari seluruh pelosok Malaysia hadir bagi meraikan perjalanan seni Datuk Aishah, sekali gus membuktikan bahawa karya-karya beliau terus hidup merentasi generasi.
Konsert berkenaan mengangkat konsep penceritaan melalui muzik, setiap segmen konsert membawa penonton menyelusuri bab demi bab perjalanan seni Datuk Aishah.
Persembahan dimulakan dengan medley ‘Camar Yang Pulang’, ‘Tiada Duka’, ‘Never Gave Up On You’ dan ‘Jari-Jariku Sakit Semua’ yang terus membangkitkan sorakan penonton.
Kemudian beliau meneruskan persembahan menerusi ‘Kau Sahabat, Kekasih & Teman’, ‘Kasih Kita’ dan ‘Kau Yang Teristimewa’, mengimbau kembali lagu-lagu yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup para peminat.
Segmen berikutnya memperlihatkan sisi kecintaan Datuk Aishah terhadap warisan budaya menerusi medley ‘Tari Silat Melayu’, ‘Lambaian Nogori’ dan ‘Bahtera Merdeka’, sebelum beliau menyampaikan ‘Fatwa Pujangga’ serta rangkaian lagu yang menyentuh jiwa menerusi ‘Di Mana Ku Cari Ganti’, ‘Ayah’ dan ‘Syurga Di Telapak Kaki Ibu’.
Kehangatan malam konsert diteruskan dengan ‘Bayangan’, diikuti ‘You’ve Got A Friend’, sebelum pentas diserikan dengan kemunculan istimewa Ara Johari menerusi duet ‘Kemaafan Dendam Yang Terindah’.

Pada konsert berkenaan Ara turut memberikan persembahan solo menerusi ‘Menjaga Jodoh Orang Lain’, sekali gus membawa dimensi baharu kepada malam yang cukup bermakna itu.
Penonton seterusnya menikmati medley ‘Melukut Di Tepi Gantang’ dan ‘Wajah’, disusuli ‘Di Antara Cinta & Kasih’ serta ‘Wanita’, sebelum Datuk Aishah mempamerkan keampuhan vokalnya menerusi lagu Inggeris; ‘One Moment In Time’ dan medley ‘Sensation’, ‘Call Me’, ‘I Feel Love’ serta ‘Don’t Let Me Fall Alone’.
Kemuncak konsert berkenaan, penonton dibuai dengan lagu ikonik ‘Janji Manismu’, yang bergema dengan suara penonton dalam sebuah momen penuh emosi.
Sorakan yang tidak putus-putus sekali lagi membawa Datuk Aishah kembali ke pentas bagi menyampaikan lagu-lagu istimew; ‘Pulanglah’ dan ‘Setitis Cahaya Di Aidilfitri’ sekali gus menutup tirai konsert dengan penuh indah.
Konsert hampir tiga jam itu merupakan sentuhan Pengarah Muzik Sharon Paul yang menyusun muzik dengan segar dan dinamik tanpa menghilangkan identiti asal setiap karya.