
DAMSYIK, 6 Julai – Sidang pertama parlimen peralihan Syria ditangguhkan hanya beberapa hari selepas mengumumkan sesi sulung dijadual berlangsung pada Isnin.
- Pihak berkuasa baharu membubarkan badan perundangan lama yang dilihat hanya meluluskan keputusan kerajaan selepas kejatuhan Bashar al-Assad.
- Mengguna pakai deklarasi perlembagaan sementara untuk mengurus tempoh peralihan selama lima tahun.
- Jawatankuasa tempatan pilih dua pertiga daripada 210 ahli parlimen; baki satu pertiga dilantik oleh Presiden Ahmed al-Sharaa.
- Wilayah Sweida belum menamakan wakil susulan keganasan sektarian; proses pemilihan hanya akan diteruskan jika keadaan sesuai.
“Persidangan pertama Dewan Rakyat ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” lapor stesen televisyen rasmi negara pada Ahad yang memetik seorang pegawai pilihan raya tanpa memberikan sebarang sebab.
Piha berkuasa baharu Syria membubarkan badan perundangan yang sebelum ini dilihat sekadar meluluskan keputusan kerajaan selepas pemerintahan Bashar al-Assad digulingkan pada Disember 2024.
Mereka turut mengguna pakai deklarasi perlembagaan sementara bagi mengurus tempoh peralihan selama lima tahun.
Pada Oktober tahun lalu, jawatankuasa tempatan yang dilantik Suruhanjaya Pilihan Raya atas persetujuan Presiden Ahmed al-Sharaa mula memilih dua pertiga daripada 210 ahli parlimen baharu, manakala baki satu pertiga dilantik sendiri oleh Sharaa.
Minggu ini, Sharaa melantik 70 anggota parlimen.
Wilayah Sweida yang majoriti penduduknya daripada komuniti Druze di selatan Syria masih belum menamakan wakilnya susulan keganasan berunsur sektarian yang berlaku tahun lalu.
Pihak berkuasa pilihan raya memaklumkan proses pemilihan di wilayah itu hanya akan diteruskan jika keadaan disifatkan sesuai.
Proses pemilihan turut diadakan di kawasan utara dan timur laut Syria yang sebelum ini ditadbir pihak Kurdish selepas kerajaan di Damsyik mengambil alih pentadbiran kawasan berkenaan dan memeterai perjanjian bagi mengintegrasikan institusi Kurdish ke dalam struktur negara. – AFP