Hampir 200,000 pemilik pikap, jip terima tambahan 100 liter BUDI Diesel

Kerajaan mengambil kira maklum balas berhubung penggunaan kenderaan diesel oleh ahli keluarga terdekat atau kenderaan yang belum dikemas kini rekod pemilikan

PUTRAJAYA, 5 Julai – Hampir 200,000 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip telah diluluskan tambahan kuota diesel bersubsidi sebanyak 100 liter sebulan di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), menjadikan jumlah kelayakan meningkat kepada 300 liter sebulan bermula bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penambahan kuota mengambil kira keperluan diesel lebih tinggi bagi pemilik pikap dan jip, termasuk untuk PMKS serta perjalanan ke luar bandar dan pedalaman.
  • Penerima asal boleh memohon pemindahan kelayakan melalui portal BUDI MADANI; pengguna sebenar perlu mengemas kini rekod pemilikan di JPJ.
  • Kerajaan beri pengecualian fi pertukaran hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026 untuk memudahkan proses.

Kenyataan Kementerian Kewangan memaklumkan, jumlah itu melibatkan lebih 174,000 warganegara di Semenanjung serta lebih 22,000 lagi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, setakat semalam.

“Penambahan kuota mengambil kira keperluan penggunaan diesel yang lebih tinggi dalam kalangan pemilik pikap dan jip termasuk bagi kegunaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta perjalanan ke kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menerusi kenyataan sama menyatakan kerajaan memahami kenderaan diesel bukan sekadar digunakan untuk perjalanan harian, malah menjadi sumber pendapatan dan memenuhi keperluan keluarga.

“Harapan kita, kemudahan tambahan 100 liter ini dapat membantu mereka mengurus keperluan diesel bulanan dengan lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan mengambil kira maklum balas rakyat berhubung penggunaan kenderaan diesel oleh ahli keluarga terdekat atau kenderaan yang belum dikemas kini rekod pemilikannya.

Sehubungan itu, penerima asal BUDI Diesel boleh memohon pemindahan kelayakan melalui portal rasmi BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat dan pengesahan yang ditetapkan, manakala pengguna sebenar juga boleh mengemas kini rekod pemilikan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagi memudahkan proses berkenaan, kerajaan turut memberikan pengecualian fi pertukaran hak milik kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai 2026.

Setakat 4 Julai, lebih 2,000 permohonan pemindahan kelayakan BUDI Diesel telah diterima menerusi portal rasmi program itu.

Sejak akses awal BUDI Diesel bermula 27 Jun hingga 4 Julai, lebih 336,000 transaksi pembelian diesel bersubsidi direkodkan, melibatkan 12.6 juta liter diesel dengan nilai subsidi melebihi RM23 juta yang ditanggung kerajaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.