
KOTA TINGGI, 4 Julai- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan pengurangan import makanan negara sehingga 50 peratus menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif agro makanan yang digerakkan secara berperingkat oleh agensi di bawah kementerian itu.
- Kerjasama strategik antara RISDA, FELCRA, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kerajaan negeri dan agensi berkaitan untuk memperkukuh keterjaminan makanan.
- Pembangunan tanah terbiar dan kurang dimanfaatkan bagi tanaman makanan dan penternakan serta pengembangan projek agro makanan di seluruh negara.
- Sepanjang RMK12, RISDA laksanakan program agro makanan bernilai RM108.59 juta melibatkan 4,500 projek dan 6,815 peserta.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran berkenaan akan dicapai melalui kerjasama strategik melibatkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), FELCRA Berhad, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), kerajaan negeri serta agensi berkaitan bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata antara inisiatif utama ialah pembangunan tanah terbiar dan kurang dimanfaatkan bagi tujuan tanaman makanan serta aktiviti penternakan, selain memperluas projek agro makanan di seluruh negara.
“Untuk tahun 2030 saya fikir kita boleh mengurangkan sekurang-kurangnya 15 peratus, 2040 mencecah 30 peratus dan saya fikir sasaran 50 peratus pengurangan import itu boleh dicapai menjelang 2050,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian selepas merasmikan Program RISDA Agro Majestic Negeri Johor di Bandar Tenggara, di sini.
Sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), RISDA telah melaksanakan program agro makanan berjumlah lebih RM108.59 juta melibatkan 4,500 projek dengan penyertaan 6,815 peserta di seluruh negara.