Isu remaja hamil luar nikah perlu perhatian serius

Foto BERNAMA 

KUCHING, 4 Julai – Isu remaja hamil luar nikah memerlukan perhatian serius kerana implikasinya terhadap masa depan remaja, institusi keluarga serta kesejahteraan masyarakat, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah tinggi remaja hamil tanpa nikah direkodkan negara antara 2019-2024 menunjukkan isu meluas memerlukan tindakan menyeluruh.
  • Perlu diperkukuh langkah pencegahan, pendidikan seksual dan intervensi awal dengan sokongan kerajaan, komuniti dan keluarga.
  • Ancaman digital seperti buli siber, penipuan, eksploitasi dan pengantunan seksual meningkat; ibu bapa perlu memantau dan wujudkan hubungan keluarga erat.

Beliau berkata berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) sebanyak 21,114 remaja berusia bawah 19 tahun hamil dan tidak berkahwin direkodkan di fasiliti kesihatan kerajaan bagi tempoh 2019 hingga 2024.

“Di Sarawak, Jabatan Kesihatan negeri merekodkan 1,271 kes pada 2024 berbanding 1,242 kes pada 2025. Walaupun menunjukkan sedikit penurunan, angka ini masih memerlukan perhatian serius.

“Justeru, usaha pencegahan, pendidikan dan intervensi awal perlu terus diperkukuh dengan sokongan semua pihak,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program PEKERTI Negara Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Datuk Seri Nancy berkata pada hari ini, ancaman terhadap remaja tidak lagi terhad kepada persekitaran fizikal.

Beliau berkata dunia digital telah membuka ruang kepada pelbagai bentuk risiko baharu termasuk buli siber, penipuan dalam talian, eksploitasi seksual dan pengantunan seksual atau sexual grooming yang semakin membimbangkan.

“Ibu bapa benteng pertama melindungi anak daripada pelbagai pengaruh negatif. Saya menyeru semua ibu bapa agar meluangkan masa dengan anak, memahami dunia digital mereka dan memantau penggunaan teknologi secara berhemah.

“Hubungan erat dalam keluarga akan membantu anak membuat pilihan yang betul dan mengelakkan mereka daripada pengaruh negatif,” katanya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.