Ahmad Redzuan-Zi Yu kian hampiri gelaran remaja Asia

Foto FB Badminton Association of Malaysia – BAM

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Gandingan Ahmad Redzuan Zulwaqqarizal-Low Zi Yu muncul sebagai harapan terakhir Malaysia untuk meraih kejayaan selepas mara ke perlawanan akhir beregu campuran Kejohanan Badminton Remaja Asia 2026 di Yatsushiro, Jepun, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menewaskan pasangan Taiwan Sheng Ming Lin-Liang Ching Sun 21-16, 23-25, 21-10 dalam 53 minit untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir beregu campuran.
  • Dijadualkan berdepan pasangan China Wei Gang Zheng-Li Meng Han dalam perebutan gelaran esok.
  • Zi Yu tersingkir dalam separuh akhir beregu wanita bersama Genevie Lim, tumpas kepada pilihan kedua Jepun Aoi Banno-Yuzu Ueno.
  • BAM mengesahkan Malaysia membawa pulang pingat gangsa.

Pilihan kedua itu mengesahkan tiket ke perlawanan penentuan selepas menewaskan pasangan pilihan ketujuh dari Taiwan, Sheng Ming Lin-Liang Ching Sun, 21-16, 23-25, 21-10 dalam aksi 53 minit yang berlangsung di Yatsushiro City General Gymnasium.

Kemenangan berkenaan sungguh bermakna memandangkan ini kali pertama kedua-dua gandingan itu bertemu dalam pentas antarabangsa.

Ahmad Redzuan-Zi Yu dijadualkan berdepan pemain China, Wei Gang Zheng-Li Meng Han dalam perebutan gelaran esok.

Pasangan China itu mengesahkan tempat ke final dengan penuh bergaya selepas mengetepikan rakan senegara, Qi Rui Sun-Dan Yang, 21-12, 21-15 dalam aksi yang hanya mengambil masa 34 minit.

Bagaimanapun, impian Zi Yu untuk melakar sejarah mara ke dua final pada hari yang sama musnah apabila sebelum itu beliau tersingkir dalam separuh akhir beregu wanita.

Bergandingan dengan Genevie Lim dalam kategori WD-U19, pasangan Malaysia itu terpaksa akur kepada pilihan kedua tuan rumah, Aoi Banno-Yuzu Ueno dari Jepun, meskipun bermula baik selepas memenangi set pertama 21-16.

Mereka gagal mengekalkan momentum apabila pasangan Jepun itu bangkit memenangi dua set berikutnya 21-17, 21-17 dalam perlawanan yang berlangsung satu jam 18 minit.

Meskipun tersingkir, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan yang mereka akan membawa pulang pingat gangsa.-BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.