‘BUDI Diesel ringankan beban’ – Pengguna Labuan

Syaffie Balyan, Rosmawati Saidih, Fatimasah Sangkula dan Rosni Mohamad Daud/ RTM

LABUAN, 4 Julai- Pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pada harga RM2.10 seliter yang bermula 1 Julai menerima pelbagai reaksi daripada pengguna di Labuan, dengan rata-rata berpuas hati terhadap kelancaran proses pembelian diesel bersubsidi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Proses pembelian diesel bersubsidi dilaporkan berjalan lancar dan mudah oleh pengguna.
  • Penduduk berkata inisiatif BUDI Diesel banyak meringankan beban kos sara hidup.
  • Ada kebimbangan inisiatif ini boleh menjejaskan kenaikan harga barang; pengguna berharap tiada kenaikan.
  • Pemilik kenderaan boleh menyemak kelayakan dan had bulanan melalui sistem MyKad di www.budimadani.gov.my.

Tinjauan RTM mendapati proses pembelian diesel bersubsidi berjalan lancar dan mudah, selain rata-rata pengguna berpuas hati dengan pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Seorang penduduk, Syaffie Balyan berkata pelaksanaan inisiatif itu membantu rakyat dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Dengan situasi sekarang ini, barang makin mahal, kos hidup makin tinggi, jadi adanya BUDI Diesel ini meringankan beban,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Fatimasah Sangkula berharap pelaksanaan inisiatif berkenaan tidak memberi kesan kepada kenaikan harga barang.

“Saya berharap pelaksanaan inisiatif ini tidak menyebabkan harga barang meningkat kerana rakyat mengharapkan kos sara hidup dapat dikurangkan,” katanya.

Penyelia stesen minyak, Rosmawati Saidih, berkata pelaksanaan BUDI Diesel setakat ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Setakat ini okey, tiada masalah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Rosni Mohamad Daud berkata pelaksanaan inisiatif itu difahami sebagai langkah kerajaan mengawal penjualan diesel kepada pihak yang layak, namun penyampaian maklumat berkaitan pelaksanaannya perlu dipertingkatkan.

“Kami faham hasrat kerajaan untuk mengawal penjualan diesel kepada pihak yang berkelayakan, namun penyampaian maklumat perlu lebih telus, kerap dan dibuat lebih awal supaya tidak mengganggu urusan harian masyarakat,” katanya.

Selepas BUDI95 untuk petrol RON95, kerajaan kini memperkenalkan mekanisme subsidi diesel berasaskan MyKad di seluruh negara mulai 1 Julai lepas.

Melalui sistem baharu itu, rakyat Malaysia yang layak menikmati harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter berbanding RM2.15 seliter.

Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak status kelayakan, had kelayakan bulanan dan maklumat lanjut di www.budimadani.gov.my.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.