
KUALA LUMPUR, 3 JULAI – Ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low kekal dalam buruan Malaysia walaupun dia dilapor bakal diberikan pengampunan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersempena sambutan Hari Kemerdekaan negara itu.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim tekankan Malaysia akan ikut jalur undang-undang dalam menangani kes membabitkan Jho Low.
- Kerajaan tidak akan terpengaruh atau tergugat oleh keputusan Amerika Syarikat berkaitan pengampunan.
- Media antarabangsa melaporkan Jho Low disenarai antara 250 individu dipertimbangkan untuk pengampunan oleh White House.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan berkaitan pengampunan itu adalah urusan Amerika Syarikat dengan Malaysia kekal berpegang kepada proses perundangan dalam menangani kes membabitkan Jho Low.
“Pendirian Malaysia jelas. Kita ikut jalur hukum. Itu soal keputusan negara Amerika Syarikat itu urusan mereka.
“Tapi pendirian kita tidak terpengaruh atau pun terganggu atau tergugat oleh keputusan Amerika Syarikat,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena di sini.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Jho Low disenarai dalam kalangan 250 individu yang mungkin dipertimbangkan untuk menerima pengampunan Trump sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-250 Amerika Syarikat pada Sabtu.
The Atlantic melaporkan White House sedang meneliti cadangan itu menerusi inisiatif yang dikenali sebagai ‘250 pengampunan bagi 250 tahun’.