MSN perkasa program lahir pelumba berbasikal para handalan dunia

MSN

KUALA LUMPUR, 3 Julai- Majlis Sukan Negara (MSN) memperkenalkan dua inisiatif baharu bagi memperkukuh matlamat mengasah bakat dalam kalangan pelumba berbasikal para negara yang mampu menjadi pencabar dalam saingan di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin memenangi emas pecut Kejohanan Trek Para Dunia 2025 di Rio jadi pemangkin pembinaan bakat.
  • Kem Bakat di Pusat Kecemerlangan Kampung Pandan disertai 31 atlet; lapan terpilih untuk Program Next Gen Julai hingga Disember 2026.
  • Program berbasikal para peringkat negeri akan digerakkan bersama Majlis Sukan Negeri, sasar penyertaan semua negeri pada 2027.
  • MSN rancang penganjuran kejohanan diiktiraf UCI di negara untuk kumpul mata kelayakan; sasar laluan ke Paralimpik Los Angeles 2028.

MSN dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu dijayakan susulan kejayaan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin muncul atlet berbasikal para pertama Malaysia mencipta sejarah memenangi pingat emas acara pecut pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin berkata menerusi inisiatif itu, MSN percaya akan dapat memastikan pencungkilan bakat atlet berbasikal para secara konsisten sebelum didedahkan kepada persekitaran latihan profesional.

“Ia supaya mereka mampu meneruskan peningkatan dan jadi pencabar di saingan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebelum ini, inisiatif pertama diperkenalkan ialah Kem Bakat Sukan Para Berbasikal yang dikendalikan secara profesional oleh jurulatih kebangsaan di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan pada 7 dan 8 Mei lepas dan disertai 31 atlet para daripada seluruh negara.

Lapan atlet para terbaik dikenal pasti daripada kem berkenaan disenaraikan untuk Program Next Gen yang bakal berlangsung dari Julai hingga Disember 2026 dan atlet yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang tempoh itu bakal mengikuti latihan sepenuh masa MSN.

MSN memaklumkan inisiatif kedua yang dijadualkan bermula awal tahun hadapan ialah memperluaskan pencarian bakat dengan memperkenalkan program sukan berbasikal para di peringkat negeri.

“MSN akan bekerjasama dengan Majlis Sukan Negeri-negeri untuk membantu merealisasikan pelaksanaan program berbasikal para di negeri-negeri dan sasaran kita ialah supaya ada penglibatan semua negeri pada 2027,” kata Jefri.

MSN berkata tumpuan awal akan diberikan kepada negeri yang memiliki kemudahan velodrom seperti Terengganu, Johor dan Negeri Sembilan selain turut memperkasakan barisan kejurulatihan dengan kemasukan seorang jurulatih baharu untuk program pelapis.

MSN juga sedang mengatur persiapan untuk menganjurkan kejohanan di tanah air yang diiktiraf Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi memberi peluang atlet-atlet berbasikal para negara mengumpul mata kelayakan ke temasya utama.

Selain komitmen di Sukan Komanwel dan Sukan Para Asia tahun ini, skuad negara kini mula memburu kelayakan merit ke Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 menerusi Kejohanan Dunia Trek Para Berbasikal 2026 di Apeldoorn, Belanda pada Oktober ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.