
SEPANG, 3 Julai- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa menyokong pembangunan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli melalui program pembangunan bakat Litar Antarabangsa Sepang (SIC), jelas SIC Racing.
- SIC Racing minta peminat hentikan kritikan terhadap KBS susulan salah faham tular.
- Zulfahmi kata sukar meraikan kemenangan kerana KBS diletakkan dalam kedudukan tidak sewajarnya.
- Dakwaan tular selepas kemenangan Hakim Danish di GP Republik Czech dianggap tidak tepat dan mencemarkan imej KBS.
- KBS rakan strategik konsisten sejak hari pertama; harap program pembangunan diteruskan selepas sambungan MotoGP Malaysia lima tahun.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata sokongan berterusan itu merangkumi pembangunan bakat sejak program berkenaan diperkenalkan di bawah SIC.
Sehubungan itu, beliau meminta peminat sukan permotoran menghentikan kritikan terhadap KBS berhubung isu sokongan terhadap pelumba berkenaan, susulan beberapa salah faham yang tular di media sosial.
“Selepas kemenangan Hakim Danish, terdapat beberapa perkara yang kurang tepat disebarkan sehingga memberi persepsi kurang baik terhadap KBS, dan sudah tentu saya tidak berasa senang dengan situasi itu.
“Saya sendiri agak sukar untuk meraikan kemenangan tersebut kerana pada masa sama KBS berada dalam kedudukan yang tidak sewajarnya akibat salah faham yang timbul,” katanya kepada pemberita sewaktu menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari ke garaj SIC Racing di sini pada Rabu.
Zulfahmi berkata dakwaan yang tular selepas kemenangan bersejarah Hakim Danish pada Grand Prix (GP) Republik Czech baru-baru ini adalah tidak tepat hingga meletakkan kementerian dalam situasi yang tidak wajar.
Menurutnya, KBS merupakan rakan strategik utama yang konsisten menyokong program pembangunan pelumba tempatan sejak hari pertama pelaksanaannya bersama SIC.
“Saya ingin tegaskan di sini bahawa KBS telah bersama dengan program ini sejak hari pertama bersama SIC.
“Saya berharap dengan penganjuran MotoGP Malaysia yang disambung lima tahun lagi, program pembangunan bakat ini akan diteruskan bagi melahirkan lebih ramai pelumba seperti Hakim Danish pada masa depan,” katanya.
Isu berkenaan tercetus susulan kenyataan Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengenai ketiadaan peruntukan khusus kepada Hakim Danish pada musim ini yang disalah tafsir, selain hantaran ucapan tahniah KBS yang turut menerima reaksi negatif daripada segelintir peminat.