
GUA MUSANG, 3 JULAI – Masyarakat orang asli kini tidak lagi perlu melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan bekalan minyak, sebaliknya boleh mendapatkan bahan bakar berkenaan di penempatan berdekatan.
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memperuntuk lebih RM3.3 juta untuk Program Pengedaran Barang Perlu di Pos Brooke dan RPS Kuala Betis.
- Stesen minyak tempatan menerima bekalan sekitar 1,500 liter sehari bagi memenuhi permintaan petrol dan diesel penduduk orang asli.
- Program bertujuan memastikan barangan keperluan asas dijual pada harga sama seperti kawasan bandar serta mengurangkan beban kos sara hidup.
Kemudahan berkenaan disediakan melalui Program Pengedaran Barang Perlu bagi bekalan petrol RON95 yang dilaksanakan kerajaan di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di Gua Musang, Kelantan.
Seorang penduduk, Roireng Ngah berkata, sebelum program itu diperkenalkan, mereka terpaksa ke bandar Gua Musang untuk membeli petrol bagi kegunaan harian.
Katanya, kewujudan pusat pengedaran RON95 di kampung memudahkan urusan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman termasuk Pos Gob yang terletak lebih 90 kilometer dari pusat bandar.
“Hari ini saya datang beli petrol RON95 yang kerajaan sediakan. Masyarakat orang asli bersyukur dengan harga minyak yang murah berbanding sebelum ni. Saya ucap terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan bantuan ini
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Adi Nasruddin mengakui bantuan yang disediakan kerajaan banyak membantu mereka meneruskan rutin harian.
“Kalau kita dari sini nak pergi bandar jauh. Minyak ini sangat penting untuk kami,” katanya.
Bagi pemilik stesen minyak, Suraya Muhamad, kira-kira 1,500 liter minyak akan dibekalkan sehari untuk kegunaan penduduk tempatan dan orang asli.
“Majoriti pelanggan di sini ialah orang asli. Ada permintaan petrol dan diesel. Kalau tak hujan orang pedalaman akan keluar beli,” jelasnya.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukkan lebih RM3.3 juta bagi melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu di kawasan penempatan Orang Asli Pos Brooke dan RPS Kuala Betis.
Program itu bertujuan memastikan masyarakat Orang Asli dapat membeli barangan keperluan asas pada harga yang sama seperti di kawasan bandar dan mengurangkan beban kos sara hidup penduduk di kawasan pedalaman.