
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Keutamaan Malaysia adalah memperkukuh sistem tadbir urus negara melalui agenda reformasi, pembaharuan yang menyeluruh dan usaha menangani ketidaksamaan sosial, dengan perubahan bermula di peringkat domestik.
- Perkukuh sistem pentadbiran melalui pembaharuan, pembanterasan rasuah dan penambahbaikan kelemahan struktur negara.
- Pastikan hak rakyat kepada pendidikan asas dan penjagaan kesihatan yang baik serta usaha mengurangkan jurang ketidaksamaan.
- Tunjukkan negara majoriti Muslim mengangkat demokrasi, kesederhanaan dan keterangkuman; tolak Islamofobia, xenofobia dan sentimen perkauman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu meliputi pengukuhan sistem pentadbiran, pelaksanaan pembaharuan, pembanterasan rasuah yang berakar umbi serta penambahbaikan kelemahan struktur dalam negara.
“Kita perlu menggunakan kekuatan yang ada, untuk memperjuangkan nasib rakyat biasa lelaki dan wanita, serta memastikan setiap rakyat mempunyai hak kepada pendidikan asas dan penjagaan kesihatan yang baik.
“Ini juga bagi mengurangkan jurang ketidaksamaan antara golongan elit, keluarga berada dan golongan miskin. Perkara ini, pada pandangan saya, adalah antara isu asas yang perlu dimulakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-39 di ibu negara, hari ini.
Tambah beliau, fokus negara kekal kepada usaha membina negara yang lebih baik serta membuktikan negara majoriti Muslim mampu mengangkat nilai demokrasi, kesederhanaan dan keterangkuman.
Mengulas lanjut, katanya, Malaysia tidak akan mencampuri urusan politik negara lain secara berlebihan, kerana perbezaan pandangan merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi.
“Fokus saya adalah untuk menunjukkan bahawa majoriti negara Islam tidak mewakili pandangan yang menindas atau ekstrem seperti yang sering digambarkan oleh sesetengah pihak.
“Kita menolak kempen kebencian terhadap Islam, Islamofobia, xenofobia dan sentimen perkauman terhadap mana-mana kumpulan,” katanya lagi.