Gandingan Elvis-Enrique sandaran pingat di Sukan Asia 2026

Pengarah teknikal skuad terjun kebangsaan Yeoh Ken Nee. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 2 JULAI – Tanggungjawab untuk memastikan Malaysia terus berada di podium Sukan Asia 2026 kini dipikul oleh gandingan Elvis Priestley Clement dan Enrique Harold Maccartney dalam acara terjun seirama pada saingan yang dijadual berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Elvis-Enrique dianggap harapan utama pingat berdasarkan prestasi cemerlang di Kejohanan Akuatik Dunia Singapura tahun lepas.
  • Kedudukan akhir mereka menunjukkan kemampuan menyaingi penerjun elit Asia dalam acara 10m platform seirama lelaki.
  • Keutamaan adalah konsistensi; sedang belajar terjunan baru, risiko ada; tahap kesukaran mungkin diubah mengikut situasi pertandingan.
  • Pandelela berdepan saingan lebih sukar daripada atlet muda China, Korea dan Jepun; dijangka beraksi seirama 10m wanita bersama Lee Yiat Qing.

Perkara itu dinyatakan pengarah teknikal skuad terjun kebangsaan, Yeoh Ken Nee yang mengakui peluang terbaik negara membawa pulang pingat pada temasya itu terletak pada gandingan berkenaan.

Ken Nee berkata persembahan cemerlang Elvis–Enrique dalam final acara 10 meter (m) platform seirama lelaki pada Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura tahun lepas, membuktikan bahawa mereka mampu mencabar penerjun elit Asia.

“Berdasarkan pencapaian mereka tahun lepas, Elvis–Enrique ialah finalis pada Kejohanan Akuatik Dunia di Singapura.

“Melihat pada kedudukan akhir, mereka berada antara (pemenang pingat) perak atau gangsa dalam kalangan peserta Asia sahaja, jadi ada harapan besar (untuk membawa pulang pingat),” katanya.

Pemenang pingat Sukan Asia enam kali itu percaya, konsistensi akan menjadi keutamaan untuk memastikan gandingan tersebut mampu menduduki podium pada Sukan Asia.

“Setakat ini, perkembangan mereka sangat baik. Mereka sedang belajar terjunan baharu, tetapi risiko itu memang ada bergantung pada situasi hari pertandingan.

“Kalau mereka boleh beri saingan mungkin kita akan guna tahap kesukaran yang lebih tinggi, namun sekiranya kita mahu mengekalkan konsistensi, mungkin kita tidak akan menggunakannya,” katanya.

Sementara itu, Ken Nee berkata laluan Pandelela pada Sukan Asia dijangka jauh lebih mencabar berikutan peningkatan mendadak tahap persaingan atlet Asia dalam acara platform 10m wanita.

“Walaupun beliau atlet senior, cabaran ketika ini ialah atlet dari negara Asia lain seperti China, Korea Selatan dan Jepun. Kebanyakan mereka ialah penerjun muda dan mencatat keputusan baik dalam Kejohanan Akuatik Dunia tahun lepas,” tambahnya.

Atlet berusia 33 tahun dari Sarawak itu juga dijangka beraksi dalam acara 10m platform seirama wanita dengan bekas pemenang pingat emas Sukan SEA, Lee Yiat Qing. -Bernama

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.