Sindiket judi bola sepak dalam talian tumpas, 32 warga China ditahan

Op Soga XI terus diperhebat Polis Kuala Lumpur bagi memburu ejen, penganjur serta individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian

KUALA LUMPUR, 2 JULAI – Kegiatan sindiket pertaruhan bola sepak dalam talian yang berselindung di sebuah pejabat di Cheras, terbongkar dengan penahanan 32 warga China menerusi serbuan khas Op Soga XI, awal pagi semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek berusia 20 hingga 40 tahun dipercayai mengurus akaun pelanggan, menyelia transaksi kewangan dan mempromosi perjudian menerusi laman web.
  • Rampasan termasuk 28 komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem internet dan pelbagai peralatan lain.
  • Kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka, Akta Pertaruhan dan Akta Imigresen; suspek direman sehingga 4 Julai bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu dipercayai mengurus akaun pelanggan, menyelia transaksi kewangan serta mempromosikan kegiatan perjudian bola sepak menerusi sebuah laman web.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras membuat serbuan kira-kira pukul 2.40 pagi di lokasi berkenaan yang beroperasi sejak tiga minggu lepas.

“Rampasan melibatkan 28 komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem internet dan pelbagai peralatan lain,”katanya menerusi kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63, manakala semua suspek direman sehingga 4 Julai bagi membantu siasatan.

Op Soga XI terus diperhebat Polis Kuala Lumpur bagi memburu ejen, penganjur serta individu yang terlibat dalam kegiatan perjudian, sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.