Lima warga China cedera selepas kenderaan terjunam di tapak projek pembinaan

Keadaan kenderaan yang terjunam ke dalam gaung di tapak projek pembinaan/Foto JBPM Kelantan

MACHANG, 2 Julai – Lima warga China cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di tapak projek pembinaan culvert sedalam tujuh meter di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di sini malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan awal mendapati kenderaan memasuki kawasan tapak projek pembinaan kerana berpandukan aplikasi navigasi.
  • Kesemua mangsa mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Machang untuk rawatan lanjut.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; polis nasihatkan peka kepada papan tanda dan elak bergantung sepenuhnya pada navigasi malam.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada orang awam pada jam 12.01 tengah malam.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 11.50 malam apabila sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki warga China berusia 66 tahun bersama empat penumpang senegara dalam perjalanan dari Temangan, Machang menuju ke Tok Bali, Pasir Puteh dengan berpandukan aplikasi peta navigasi.

“Kenderaan tersebut dipercayai telah memasuki kawasan tapak projek pembinaan culvert yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang awam,lalu terjatuh ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, kesemua mangsa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 40 hingga 66 tahun mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa peka terhadap papan tanda amaran, kon keselamatan dan penghadang di kawasan kerja pembinaan serta tidak bergantung sepenuhnya kepada aplikasi navigasi terutama pada waktu malam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.