
PUTRAJAYA, 1 Julai – Hubungan dua hala antara Malaysia dan Belgium bakal memasuki fasa baharu menerusi lawatan kerja dua hari Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri, Hal Ehwal Eropah dan Kerjasama Pembangunan Belgium, Maxime Prévot, yang bermula esok.
- Pertemuan rasmi dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai platform meneroka kerjasama dalam tenaga boleh baharu, REE dan ekosistem halal.
- Perbincangan meliputi hubungan Malaysia-EU serta isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
- Beliau dijangka menghadap Sultan Perak dan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39 anjuran ISIS Malaysia.
- Hubungan ekonomi kukuh: dagangan dua hala 2025 RM9.74 bilion; eksport RM6.85 bilion; import RM2.89 bilion; 67 projek pelaburan Belgium.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan tersebut pada Februari tahun lalu bertujuan menilai semula status hubungan sedia ada serta meneroka potensi kerjasama strategik yang lebih luas antara kedua-dua negara.
Menerusi lawatan itu, Prévot dijadualkan mengadakan pertemuan rasmi dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Pertemuan tersebut akan menjadi platform penting buat kedua-dua negara meneroka bidang kerjasama baharu, khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu, industri unsur nadir bumi (REE) serta pemantapan ekosistem kerjasama halal.
“Selain agenda dua hala, kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai hubungan Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) serta perkembangan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut Wisma Putra.
Selain pertemuan dua hala, Prévot dijangka menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selain dijadualkan menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39 yang dianjurkan oleh Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.
Hubungan ekonomi Malaysia-Belgium terus menunjukkan prestasi kukuh apabila jumlah dagangan dua hala bagi tahun 2025 mencecah RM9.74 bilion, dengan eksport Malaysia ke Belgium bernilai RM6.85 bilion, manakala import pula mencatatkan RM2.89 bilion.
Sehingga tahun lalu, sebanyak 67 projek pelaburan melibatkan syarikat Belgium telah diluluskan di Malaysia dengan nilai keseluruhan RM5.1 bilion, sekali gus mewujudkan 4,605 peluang pekerjaan.