53 jemaah haji Labuan selamat tiba dari tanah suci

53 jemaah haji dari Wilayah Persekutuan Labuan yang merupakan rombongan terakhir selepas menunaikan ibadah haji di tanah suci selamat tiba di Lapangan Terbang Labuan

LABUAN, 1 Julai – Seramai 53 jemaah haji dari Wilayah Persekutuan Labuan selamat tiba di Lapangan Terbang Labuan, kira-kira pukul 5.20 petang tadi menerusi Operasi Penerbangan Domestik Fasa Dua Musim Haji 1447 Hijrah/2026 Masihi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rombongan terakhir tiba dari Mekah menerusi penerbangan domestik Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur.
  • Ketibaan disambut Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak Datuk Nurlaila Said, wakil MAB dan kakitangan Tabung Haji.
  • Suasana balai ketibaan gembira bersama ahli keluarga, operasi ini sebahagian usaha Tabung Haji memastikan kepulangan lancar selamat dan teratur.

Kumpulan jemaah Labuan ini merupakan rombongan yang terakhir tiba di Lapangan Terbang Labuan menerusi penerbangan domestik Malaysia Airlines yang berlepas dari Kuala Lumpur selepas menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.

Ketibaan kumpulan rombongan haji itu disambut Pengarah Tabung Haji Wilayah Sabah dan Sarawak, Datuk Nurlaila Said.

Hadir sama menyambut rombongan berkenaan, Pengarah Operasi Stesen Berlepas Kota Kinabalu Yusdi Nasip, kakitangan Tabung Haji Cawangan Labuan dan pengurusan Malaysia Airport Berhad (MAB).

Dalam pada itu, suasana di balai ketibaan turut disambut gembira dengan kehadiran ahli keluarga yang menyambut kepulangan para jemaah setelah selesai menunaikan rukun Islam kelima.

Operasi penerbangan domestik itu merupakan sebahagian daripada usaha Lembaga Tabung Haji bagi memastikan urusan kepulangan jemaah haji Malaysia ke destinasi masing-masing berjalan lancar, selamat dan teratur.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.