
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang digubal khusus bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563). Langkah drastik itu diambil bagi memperkukuh keupayaan negara dalam membendung ancaman serta kesalahan jenayah siber yang kini semakin sofistikated dan berskala global.
- Kuasa penyiasatan tertakluk kepada prosedur perundangan ketat; akses sistem, pemeliharaan data dan penzahiran maklumat hanya untuk penyiasatan sah melalui notis bertulis.
- RUU memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 untuk memperkukuh keupayaan negara membendung ancaman dan kesalahan jenayah siber kompleks.
- Kandungan dijana AI bukan kesalahan semata-mata; pendakwaan mesti membuktikan niat, tujuan penggunaan dan kesan perbuatan.
- PDRM kekal agensi utama penyiasatan; NACSA, MCMC, Bank Negara sebagai penyelaras strategik. RUU perkenal kesalahan khusus melindungi golongan rentan.
RUU tersebut diluluskan di Dewan Rakyat selepas ia dibahaskan oleh 48 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika sesi penggulungan berkata, kerajaan memberi jaminan undang-undang berkenaan tidak memberi kuasa mutlak kepada pihak berkuasa, sebaliknya digubal dengan mekanisme semak dan imbang bagi memastikan keseimbangan antara keperluan penguatkuasaan dan perlindungan hak asasi rakyat.
“Setiap kuasa penyiasatan yang diperuntukkan dalam RUU itu tertakluk kepada prosedur perundangan yang ketat dan tidak boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya,” menurutnya.
Jelas beliau lagi, akses kepada sistem komputer, pemeliharaan data dan penzahiran maklumat hanya boleh dilakukan bagi tujuan penyiasatan yang sah serta melalui notis bertulis mengikut peruntukan undang-undang.
“RUU ini turut akan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] bagi memperkukuh secara komprehensif keupayaan negara dalam membendung ancaman serta kesalahan jenayah siber yang kompleks dan berskala global.
“RUU ini tidak mengetepikan perlindungan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 atau mana-mana undang-undang lain yang melindungi maklumat sensitif negara.
“Ia juga bukan bertujuan mengawal perbezaan pendapat atau menyekat pandangan politik, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membanteras jenayah siber,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata kandungan yang dijana menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak menjadi suatu kesalahan semata-mata kerana dihasilkan menggunakan teknologi tersebut.
Sebaliknya, pihak pendakwaan tetap perlu membuktikan elemen kesalahan termasuk niat jenayah, tujuan penggunaan serta kesan yang terhasil daripada perbuatan berkenaan.
“Kerajaan akan memperkukuh kepakaran forensik AI menerusi penubuhan Cyber Security and Cryptology Development Centre yang menghimpunkan kepakaran daripada universiti, industri dan agensi penguatkuasaan.
“RUU itu turut memperkenalkan kesalahan khusus bagi memperkukuh perlindungan terhadap golongan rentan termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas yang semakin menjadi sasaran jenayah siber,” katanya.
Dalam aspek penguatkuasaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kekal sebagai agensi utama penyiasatan jenayah siber, manakala Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berperanan sebagai penyelaras strategik bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Negara Malaysia serta agensi berkaitan.
Tambah beliau, kerajaan turut memberi penekanan kepada pendidikan masyarakat dan peningkatan literasi digital kerana hukuman lebih berat sahaja tidak mencukupi untuk membendung jenayah siber.
“Statistik PDRM menunjukkan kes jenayah siber meningkat daripada 25,479 kes pada 2022 kepada 66,204 kes tahun lalu, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh kerangka perundangan negara,” menurutnya lagi.
Mengenai MyDigital ID, beliau menjelaskan sistem itu hanya berfungsi sebagai mekanisme pengesahan identiti melalui konsep *single sign-on* dan tidak menyimpan maklumat peribadi pengguna, yang kekal berada dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara.
RUU Jenayah Siber 2026 diluluskan pada bacaan kali kedua sebelum persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan dan akan bersambung esok.