
KUALA LUMPUR, 1 Julai – Semua syarikat pengangkutan digesa melaksanakan saringan dadah secara berkala terhadap pemandu masing-masing bagi mengelakkan risiko kemalangan maut serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
- JSPT memperhalusi cadangan memperketat tindakan terhadap syarikat pengangkutan supaya turut dipertanggungjawabkan atas pemandu bawah pengaruh.
- Operasi bersama JSJN dan AADK: 713 ujian air kencing, 135 ditahan April–Jun, tumpuan pada lori, bas ekspres, bas sekolah dan kenderaan bahan bahaya.
- JSPT memandang serius penyalahgunaan dadah kerana ia menjejaskan tumpuan, pertimbangan dan keupayaan kawal kenderaan, meningkatkan risiko kemalangan maut.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohammed Hasbullah Ali berkata jabatan itu juga sedang memperhalusi cadangan untuk memperketatkan tindakan terhadap syarikat pengangkutan yang menggajikan pemandu bawah pengaruh dadah atau alkohol supaya mereka turut dipertanggungjawabkan, dan tidak hanya pemandu dikenakan tindakan undang-undang.
“Itulah yang kita harapkan. Sebab itu saya berharap agar semua pengusaha kenderaan di luar sana dapat melaksanakan ujian saringan secara berkala, sama ada seminggu sekali atau sekurang-kurangnya sebulan sekali.
“Mereka perlu menganggap perkara ini sebagai satu tanggungjawab demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Jangan kerana mahu meraih keuntungan lebih, kita mengambil sesiapa sahaja untuk bekerja tanpa mengambil kira aspek keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, di sini.
Cadangan itu dibuat susulan terdapat syarikat yang didapati gagal memantau latar belakang dan tahap kelayakan pemandu termasuk membenarkan individu yang mempunyai rekod penyalahgunaan dadah terus mengendalikan kenderaan perdagangan.
Terdahulu beliau dalam kenyataan memaklumkan seramai 135 individu ditahan dalam 44 sepanjang April hingga Jun tahun ini yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras pemandu kenderaan perdagangan yang memandu bawah pengaruh dadah.
Daripada jumlah itu, seramai 121 merupakan pemandu lori manakala 14 lagi membabitkan pemandu kenderaan perdagangan lain.
Operasi berkenaan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu melibatkan 713 ujian saringan air kencing ke atas pemandu kenderaan perdagangan, dengan tumpuan diberikan kepada pemandu lori, treler, bas ekspres, bas pekerja, bas sekolah serta kenderaan yang membawa bahan berbahaya.
JSPT memandang serius penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan kerana ia boleh menjejaskan tumpuan, pertimbangan serta keupayaan mengawal kenderaan, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan maut yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.