AKPS tekad noktahkan budaya rasuah, salah guna kuasa

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (tengah)

PUTRAJAYA, 1 Julai – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) tekad menoktahkan budaya rasuah dan salah guna kuasa menerusi tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang terlibat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lima pegawai telah ditamatkan perkhidmatan, 15 berdepan tatatertib dan 50 masih disiasat.
  • Isu integriti kekal menjadi duri dalam daging yang perlu ditangani.
  • Rampasan meningkat kepada RM140.863 juta Januari hingga Mei hasil Op Green Shield dan operasi KLIA.
  • AKPS menambah veteran ATM dan pelatih baharu untuk kukuhkan siasatan, risikan dan keupayaan operasi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mendedahkan, dalam tempoh kurang setahun operasi, seramai lima pegawai telah ditamatkan perkhidmatan, manakala 15 lagi berdepan tindakan tatatertib dan 50 individu masih dalam siasatan aktif.

“Isu integriti masih menjadi ‘duri dalam daging’ kepada kewujudan AKPS. Budaya rasuah dan salah laku di pintu masuk negara harus kita jadikan tanda noktah,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan AKPS di sini, hari ini.

Dalam pada itu Datuk Seri Mohd Shuhaily turut memaklumkan bahawa agensi itu merekodkan nilai rampasan keseluruhan RM140.863 juta bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, meningkat hampir dua kali ganda berbanding RM82.1 juta sepanjang tahun lalu.

Pencapaian itu disumbangkan menerusi Op Green Shield, operasi bersepadu mengesan sisa elektronik serta operasi penguatkuasaan di pintu masuk utama seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Di sebalik kekurangan kakitangan, ia tidak menghalang kita menjalankan tugas dengan efektif. Saya percaya jika masalah sumber manusia diselesaikan segera, jumlah rampasan akan bertambah sekali gus mengurangkan ketirisan pendapatan kerajaan,” jelasnya.

Bagi memperkukuh operasi, AKPS kini turut disertai veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelatih baharu bagi membangunkan keupayaan fungsi siasatan serta risikan sendiri pada masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.