Sindiket arak tiruan tumpas, rampasan bernilai RM1.66 juta

Serbuan menerusi Op Taring Alpha 2 / Foto PGA

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penyimpanan, penjualan dan pengedaran minuman keras tiruan serta tidak bercukai dalam operasi di sekitar Lembah Klang, membabitkan rampasan bernilai RM1.66 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Taring Alpha 2 pada 25 Jun membawa kepada penahanan dua lelaki, warga tempatan dan warga Sri Lanka.
  • Polis merampas tiga lori, sebuah van, 11,496 tin dan 9,737 botol minuman keras dipercayai tiruan dan tidak bercukai.
  • Kes diserahkan kepada KPDN untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019.

Kejayaan itu dicapai menerusi Op Taring Alpha 2 pada 25 Jun lalu yang membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 22 dan 30 tahun, masing-masing warga tempatan dan Sri Lanka.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar dan Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, polis turut merampas tiga lori, sebuah van, 11,496 tin minuman beralkohol serta 9,737 botol minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai tiruan dan tidak bercukai.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek warga tempatan dipercayai berperanan sebagai penyelaras serta penjaga stor sindiket sejak tahun lalu.

Manakala suspek warga Sri Lanka pula dipercayai bertindak sebagai penjaga stor dan penghantar bekalan kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang.

“Kes ini diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 102 Akta Cap Dagangan 2019,” katanya.

Datuk Mohd Zaki berkata, kejayaan operasi itu berjaya melumpuhkan rangkaian pengedaran sindiket berkenaan, sekali gus membantu menghalang kerugian hasil cukai kerajaan akibat aktiviti penjualan minuman keras tiruan dan tidak bercukai.

PDRM memandang serius kegiatan pengedaran barangan tiruan yang bukan sahaja menjejaskan hasil negara, malah berpotensi mendatangkan risiko kepada pengguna.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.