
SELANDAR, 30 Jun – Kerajaan Negeri Melaka akan menganjurkan Festival Durian Melaka 2026 pada 5 Julai ini sebagai usaha membantu golongan pekebun di negeri berkenaan untuk memasarkan lambakan hasil durian ketika ini.
- Sekurang-kurangnya 12 tan metrik durian akan ditawarkan sepanjang festival.
- Durian ditawarkan pada harga berpatutan supaya semua rakyat dapat menikmati.
- Inisiatif bagi membantu petani dan pekebun memasarkan hasil akibat lambakan musim pengeluaran.
- Festival dibuka 11 pagi hingga 4 petang di Duta Riang Villa.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, sekurang-kurangnya 12 tan metrik durian akan ditawarkan sepanjang festival berlangsung dengan harga yang berpatutan.
“Ini adalah inisiatif kerajaan negeri Melaka bertujuan membantu petani dan pekebun durian susulan lambakan hasil durian ketika ini.
“Durian yang mahal ini akan ditawarkan pada harga premium supaya semua rakyat dapat rasa dengan lebih baik. Kita kongsi rezeki bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Durian Melaka 2026 di sini, hari ini.
Tambah Datuk Dr Akmal, lambakan hasil durian pada musim pengeluaran memuncak ketika ini, mendorong kerajaan negeri Melaka mengambil inisiatif tersebut bagi memasarkan hasil durian golongan petani dan pekebun.
Festival Durian Melaka 2026 akan mula dibuka pukul 11 pagi hingga 4 petang di Duta Riang Villa, di sini.