Insiden letupan bom: Rakyat Malaysia syukur terselamat

Muhammad Yusri Udin, 38 tahun, seorang daripada dua rakyat Malaysia terlibat kejadian letupan bom di Thailand pada Isnin / Foto RTM

KOTA BHARU, 30 Jun – Rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian letupan bom di Kampung Phrai Wan, Narathiwat, Thailand semalam, menzahirkan rasa syukur kerana terselamat dalam insiden ngeri terbabit.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua rakyat Malaysia, Muhammad Yusri Udin dan Abdullah Syarapi Abd Rahman, terbabit dalam letupan bom di Narathiwat, Thailand.
  • Kedua-dua mangsa selamat tiba di Malaysia dan mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
  • Muhammad Yusri mengalami kecederaan ringan pada tangan, Abdullah Syarapi cedera parah akibat serpihan bom di dahi, kaki dan kepala.
  • Letupan berlaku di bawah kenderaan, bom ditemui dalam pembetung di Lebuhraya 42, Kampung Phrai Wan berhampiran Tak Bai.

Mangsa terlibat ialah Muhammad Yusri Udin, 38 tahun, dan Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45 tahun.

Kedua-dua mangsa telah selamat tiba di tanah air, sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, pagi tadi.

Menurut Muhammad Yusri, dia mengalami kecederaan ringan susulan kejadian letupan bom tersebut.

“Alhamdulillah saya bersyukur sebab terselamat dan selamat tiba di Malaysia. Kalau ikutkan, ada kecederaan ringan di bahagian tangan,” katanya.

Beliau ditemui media di rumahnya, di sini, hari ini.

Menceritakan detik kejadian, Muhammad Yusri berkata, dia menyangka kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan, sebelum menyedari bahawa telah berlaku letupan di bawah kenderaan yang dinaikinya.

“Selepas bom meletup, keadaan dalam kenderaan sangat panas seperti sedang terbakar dan melihat rakannya dalam keadaan berlumuran darah di bahagian penumpang.

“Saya kemudian cuba merangkak keluar sebelum dia dan rakannya diselamatkan petugas kecemasan Thailand,” ceritanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand dan Konsulat Malaysia di Songkhla atas bantuan yang diberikan.

“Segala urusan kami dipermudahkan kerajaan Thailand ketika operasi menyelamat, rawatan di Hospital Narathiwat sehingga urusan pemindahan ke HRPZ II,” katanya lagi.

Dalam kejadian pukul 11.41 pagi waktu Thailand, dua warga Malaysia dilaporkan cedera selepas bom tepi jalan meletup di bawah pembetung di Lebuhraya 42, Kampung Phrai Wan, berhampiran daerah kecil Tak Bai, Wilayah Narathiwat.

Akibat letupan bom itu, Abdullah Syarapi mengalami kecederaan parah apabila terkena serpihan bom di bahagian dahi, kaki kiri dan kepala.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.