
BUKIT KAYU HITAM, 30 Jun- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah menghantar pulang 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Thailand ke negara asal melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, hari ini.
- Operasi dipimpin Penolong Pengarah Imigresen Adam Hamidi Auliyad Mohd Amran bersama enam pegawai lain.
- Kesemua individu sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik sebelum selesai menjalani hukuman.
- Mereka disenaraihitamkan dalam sistem JIM dan penghantaran pulang sebahagian operasi penguatkuasaan bagi memperkukuh pematuhan undang-undang imigresen.
Operasi penghantaran pulang itu diketuai Penolong Pengarah Imigresen, Adam Hamidi Auliyad Mohd. Amran dengan bantuan enam pegawai lain-lain pangkat.
JIM Negeri Kedah dalam kenyataan memaklumkan kesemua PATI terbabit terdiri daripada 22 lelaki, 13 wanita, seorang kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Menurut kenyataan itu, mereka sebelum ini ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik sebelum selesai menjalani hukuman yang diperuntukkan mengikut undang-undang.
“Sebagai langkah tegas dan berterusan, kesemua PATI yang terlibat turut disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia bagi menghalang sebarang cubaan kemasukan semula ke negara ini pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
Program penghantaran pulang tersebut merupakan sebahagian daripada operasi penguatkuasaan berterusan JIM Negeri Kedah bagi memperkukuh pematuhan undang-undang imigresen, di samping membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin secara menyeluruh dan berterusan di negara ini.