Norliyana wakili suara atlet dalam kepimpinan MA

Timbalan Presiden MA, Datuk Wan Hisham Wan Salleh. Foto/Bernama

KUALA LUMPUR, 30 JUN – Atlet lompat tinggi wanita negara, Norliyana Kamaruddin dipilih menjadi wakil atlet dalam barisan kepimpinan Kesatuan Olahraga Malaysia (MA) susulan pindaan Perlembagaan badan induk olahraga negara itu yang memberi hak mengundi secara langsung kepada atlet buat pertama kali.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlembagaan MA dipinda memberi atlet hak mengundi secara langsung dalam pemilihan dan proses membuat keputusan.
  • Langkah ini bertujuan memperkukuh ketelusan tadbir urus dan memastikan suara atlet didengari dalam majlis.
  • MA tidak akan campur tangan dalam pemilihan wakil atlet untuk memastikan proses bebas dan telus.
  • MA menandatangani MoU dengan Dirigo Events; KLSCM diumum acara rasmi pemilihan awal atlet marathon ke Sukan SEA 2027.

Keputusan tersebut dipersetujui pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MA pada Sabtu yang menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh ketelusan tadbir urus, selain memastikan suara atlet lebih didengari dalam proses membuat keputusan.

Timbalan Presiden MA, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, wakil atlet yang dilantik mestilah terdiri daripada atlet yang masih aktif bagi membolehkan semua isu dan keperluan semasa atlet dapat disampaikan secara lebih berkesan.

“Tujuan utama kewujudan Kesatuan Olahraga Malaysia adalah untuk menjaga kepentingan atlet. Jadi, tidak logik sekiranya atlet sendiri tidak mempunyai suara dalam majlis. Sebab itu kami meminda perlembagaan supaya atlet yang menganggotai majlis diberikan hak mengundi.

“Ini bermakna kami mengiktiraf pandangan dan peranan mereka dalam proses membuat keputusan. Bagi kami, ini merupakan satu langkah ke hadapan ke arah menjadikan Kesatuan Olahraga Malaysia sebuah badan yang lebih berfokus kepada atlet.” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MA dan Dirigo Events yang menyaksikan Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) diumumkan sebagai acara rasmi pemilihan awal atlet marathon negara ke Sukan SEA 2027.

Norliyana, 35, merupakan antara atlet lompat tinggi paling berpengalaman negara yang masih aktif beraksi di pentas kebangsaan dan antarabangsa.

Atlet kelahiran Negeri Sembilan itu baru-baru ini muncul juara acara lompat tinggi Terbuka Malaysia selepas melakukan lompatan setinggi 1.75 meter, selain pernah mewakili negara dalam acara heptatlon.

Tambah Datuk Wan Hisham, pihaknya tidak akan campur tangan dalam pemilihan wakil atlet pada masa hadapan kerana mahu memastikan proses tersebut kekal bebas dan telus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.