
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka kekal positif antara empat hingga lima peratus pada 2026 sekiranya tiada kejutan geopolitik baharu yang menjejaskan momentum ekonomi negara.
- Sektor perkhidmatan dan pembuatan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
- Pelaksanaan RMK13 dan belanjawan tahunan mesti dipastikan berjalan mengikut perancangan untuk mengekalkan momentum ekonomi.
- Peralihan pantas kepada tenaga boleh baharu perlu dipercepatkan bagi memperkukuh ketahanan tenaga dan menghadapi cabaran global.
Pensyarah Kanan dan Penyelaras Program MBA (Perniagaan Antarabangsa) Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ida Md Yasin berkata, unjuran itu disokong oleh prestasi sektor perkhidmatan dan pembuatan yang terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berkata, Malaysia kini mempunyai perancangan ekonomi yang jelas menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan belanjawan tahunan yang perlu dilaksanakan mengikut sasaran ditetapkan.
“Untuk enam bulan akan datang, kita sebenarnya sudah mempunyai perancangan. Kita sudah mempunyai RMK13 dan juga belanjawan tahunan.
“Kita hanya perlu memastikan pelaksanaan kembali mengikut perancangan kerana perkara seperti konflik geopolitik adalah di luar jangkaan dan perlu ditangani dengan baik,” katanya ketika menjadi tetamu Program Biz Malaysia yang disiarkan di TV1.
Beliau berkata, kestabilan pelaksanaan dasar dan perancangan sedia ada penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berada pada landasan yang betul.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Malaysia perlu mempercepatkan agenda peralihan kepada tenaga boleh baharu bagi menghadapi cabaran tenaga global pada masa hadapan.
Katanya, krisis tenaga dunia ketika ini menjadi pengajaran penting kepada negara untuk memperkukuh sumber tenaga yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Mengulas mengenai dasar monetari, beliau berkata kadar inflasi yang kekal di bawah dua peratus dijangka memberi ruang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras semasa iaitu 2.75 peratus.