LRT3 pacu pembentukan koridor ekonomi baharu di Lembah Klang

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Pembukaan Laluan Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3) hari ini disifatkan bukan sekadar memperkukuh rangkaian pengangkutan awam negara, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan koridor ekonomi baharu di bahagian barat Lembah Klang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akses LRT3 meningkatkan nilai lokasi, merangsang perkembangan hab komersial, pusat perniagaan dan pembangunan berorientasikan transit.
  • Limpahan kesan meliputi hartanah, runcit, logistik, hospitaliti dan PKS, meningkatkan aktiviti ekonomi setempat.
  • Penjimatan masa perjalanan meningkatkan produktiviti pekerja, kualiti hidup dan daya saing negara dalam jangka panjang.

Menurut Ketua UniKL Asia Rail Centre, Mohd Firdaus Hassan, peningkatan aksesibiliti menerusi LRT3 dijangka mengubah landskap pembangunan kawasan dengan merangsang pertumbuhan aktiviti ekonomi.

“Apabila akses meningkat, nilai sesuatu lokasi turut berubah. Kawasan yang sebelum ini kurang menjadi tumpuan kini berpotensi berkembang sebagai hab komersial, pusat perniagaan dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Kesan limpahnya bukan hanya kepada sektor hartanah, malah sektor runcit, logistik, hospitaliti serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dijangka menikmati peningkatan aktiviti ekonomi,” katanya kepada RTM.

Tambah beliau, dalam ekonomi moden, aksesibiliti menjadi pemacu utama pembangunan, dengan kos mobiliti tidak lagi terhad kepada harga petrol atau tol, sebaliknya turut merangkumi kos masa akibat kesesakan lalu lintas.

“Setiap minit yang dijimatkan melalui LRT3 boleh diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti pekerja dan kualiti hidup rakyat. Apabila perjalanan menjadi lebih pantas dan boleh dijangka, syarikat mempunyai tenaga kerja yang lebih produktif, manakala rakyat mempunyai lebih banyak masa untuk keluarga dan aktiviti ekonomi.

Dalam jangka panjang, inilah pelaburan yang mampu meningkatkan daya saing negara,” katanya.

LRT3 mula beroperasi kepada orang ramai hari ini dengan menghubungkan Bandar Utama dan Johan Setia, sekali gus memperluas rangkaian rel bandar serta menyokong agenda pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.