PDRM rampas hampir RM2.7 juta, judi Piala Dunia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Jun Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman merampas nilai pertaruhan mencecah RM2,625,529.46 melalui Op Soga XI bersepadu di seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • 293 operasi dilaksanakan, 331 suspek ditahan bagi kes pertaruhan haram dan perjudian dalam talian.
  • 234 warga tempatan, 97 warga asing ditahan; wang tunai dirampas RM145,005.09.
  • 185 laman sesawang dan platform terjejas; MCMC bantu sekat serta turunkan kandungan, siasatan di bawah Akta Pertaruhan dan AMLATFPUAA.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Pesuruhjaya Polis (CP) Datuk M. Kumar dalam kenyataan memaklumkan, berkata ia bertujuan membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian yang semakin meningkat sempena kejohanan sukan antarabangsa Piala Dunia FIFA 2026.

“Sepanjang tempoh operasi ini berlangsung, sebanyak 293 operasi dilaksanakan dan telah menahan seramai 331 suspek terdiri daripada 31 lelaki dan 19 wanita yang disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram dan perjudian dalam talian.

“Pecahan tangkapan terdiri daripada 234 warga tempatan dan 97 warga asing. turut dirampas dalam operasi tersebut adalah wang tunai berjumlah RM145,005.09 dan nilai pertaruhan berjumlah RM2,625,529.46,” menurut kenyataan itu.

Menerusi operasi berkenaan sebanyak 185 laman sesawang iaitu laman web, platform, aplikasi dan media sosial telah terkesan digunakan bagi aktiviti pertaruhan bola sepak dan promosi aktiviti perjudian.

Sehubungan itu tindakan sekatan laman web dan penurunan kandungan akan dibuat dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Operasi dilaksanakan bermula 11 Jun hingga 19 Julai depan merupakan kerjasama strategik bersama MCMC bagi memantau aktiviti promosi dan pengiklanan perjudian melalui laman sesawang dan platform media sosial.

Kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut bawah peruntukan Seksyan 6(1) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 4(1)(c) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Siasatan juga akan dijalankan mengikut peruntukan undangundang bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

PDRM akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan selain menyarankan orang ramai untuk membantu menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.