
BACHOK, 29 Jun – Seorang anggota bomba didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu secara cuai hingga melanggar kanak-kanak perempuan, awal bulan ini.
- Tertuduh, Mohamad Shuhaili Shuib, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.
- Tertuduh memandu MPV Toyota Innova dan melanggar seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, mengakibatkan kecederaan parah.
- Kejadian berlaku di kawasan parkir Sri Chalet Nipah kira-kira pukul 10:45 pagi pada 3 Jun lalu.
- Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Shuhaili Shuib, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova telah melanggar seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dengan cuai dan mengakibatkan kecederaan parah kepada mangsa.
Kejadian berlaku di kawasan parkir Sri Chalet Nipah di sini kira-kira pukul 10:45 pagi pada 3 Jun lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 338 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Syahmi Yazid manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Habil Zainal Abidin.
Terdahulu, Muhammad Aiman Syahmi menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh, manakala Muhammad Habil memohon jaminan rendah ditawarkan kepada anak guamnya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin.
3 Ogos depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.