Institusi tempatan pacu aliran masuk bersih RM191.6 juta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Institusi tempatan meneruskan pembelian di Bursa Malaysia untuk minggu ke-11 berturut-turut dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM191.6 juta pada minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabur runcit kembali mencatatkan belian bersih dengan aliran masuk bersih RM363.2 juta.
  • Institusi asing terus menjadi penjual bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut dengan aliran keluar bersih RM554.7 juta.
  • Purata volum dagangan harian menurun untuk pelabur runcit, institusi tempatan dan asing masing-masing 21.2%, 28.4% dan 33.7%.

MBSB Investment Bank Bhd berkata, pelabur runcit turut kembali mencatatkan belian bersih selepas merekodkan jualan bersih pada minggu sebelumnya, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM363.2 juta.

Sebaliknya, institusi asing meneruskan jualan bersih untuk minggu ketujuh berturut-turut dengan aliran keluar bersih berjumlah RM554.7 juta.

MBSB dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 26 Jun 2026 menjelaskan, institusi asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan minggu lalu, dengan aliran keluar direkodkan pada Selasa (RM176.8 juta), Jumaat (RM171.5 juta), Khamis (RM99.5 juta), Rabu (RM77.4 juta) dan Isnin (RM29.5 juta).

“Tiga sektor utama yang merekodkan aliran masuk bersih daripada institusi asing ialah produk dan perkhidmatan perindustrian (RM69.8 juta), teknologi (RM19.9 juta) serta utiliti (RM19.4 juta).

“Sementara itu, tiga sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih terbesar ialah perkhidmatan kewangan (-RM257.7 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (-RM98.9 juta), serta pembinaan (-RM93.5 juta),” menurut laporan itu.

Purata volum dagangan harian pula menyaksikan penurunan secara menyeluruh, melibatkan pelabur runcit sebanyak 21.2 peratus, institusi tempatan 28.4 peratus dan institusi asing 33.7 peratus.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.