Iran beri amaran jangan cabar kawalan Selat Hormuz

foto REUTERS

BAGHDAD, 28 Jun – Iran memberi amaran bahawa sebarang usaha mencabar kawalan negara itu ke atas Selat Hormuz hanya akan meningkatkan ketegangan, walaupun rundingan damai bagi menamatkan perang di Asia Barat sedang berlangsung.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran menggesa kerangka keselamatan serantau baharu melibatkan semua negara Teluk tanpa campur tangan negara luar.
  • Iran mengecam serangan udara AS, menegaskan bertekad mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang serangan.
  • Diplomat Tehran menggesa pematuhan MoU; amaran supaya memorandum tidak menyimpang daripada matlamat asal dan rundingan tergugat.

“Sebarang cubaan untuk melaksanakan pengaturan baharu atau berasingan daripada apa yang sedang dilaksanakan oleh Republik Islam Iran hanya akan menyebabkan keadaan menjadi lebih rumit.

“Seterusnya melambatkan pembukaan semula Selat Hormuz dan meningkatkan ketegangan, seperti yang kita saksikan dalam tempoh dua malam yang lalu,” kata Menteri Luar Abbas Araghchi pada sidang media semasa lawatannya ke Baghdad, Iraq.

Abbas juga menggesa supaya satu kerangka keselamatan baharu diwujudkan bersama negara-negara Teluk susulan serangan peluru berpandu Iran ke atas pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk sebagai tindak balas terhadap serangan AS.

“Kita perlu mencapai satu kerangka keselamatan baharu yang merangkumi semua negara di rantau ini tanpa kehadiran atau campur tangan mana-mana negara dari luar rantau,” katanya.

Diplomat tertinggi Tehran itu turut menggesa semua pihak supaya mematuhi memorandum persefahaman (MoU) dan tidak membenarkan memorandum tersebut menyimpang daripada matlamat asalnya.

Terdahulu, Iran menegaskan bahawa negara itu bertekad mempertahankan kedaulatannya susulan serangan udara terbaharu AS, ketika gencatan senjata berada dalam keadaan tidak menentu.

“Iran mengecam sekeras-kerasnya serangan udara oleh tentera AS yang bersifat pengganas ke atas beberapa kemudahan pemantauan dan pengawasan di pesisir selatan negara itu pada awal pagi Ahad,” menurut kenyataan Kementerian Luar Iran.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Iran “bertekad mempertahankan kedaulatan negara” daripada sebarang serangan AS.

Iran dan Amerika Syarikat saling menuduh antara satu sama lain melanggar syarat gencatan senjata, sekali gus menjejaskan rundingan yang bertujuan menamatkan perang di Asia Barat. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.