
JOHOR BAHRU, 28 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memastikan perkhidmatan internet berada pada tahap optimum sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk ketika berlangsungnya ceramah berskala besar.
- MCMC akan jalankan pemantauan berterusan di lokasi yang dijangka mengalami peningkatan mendadak penggunaan internet.
- Tindakan ini penting kerana ceramah dan perhimpunan kempen boleh menghimpunkan ribuan penyokong serta meningkatkan beban rangkaian.
- MCMC bersedia turun padang memantau rangkaian tanpa mengira parti jika berlaku perhimpunan atau acara berskala besar.
- Orang ramai digalakkan memuat turun aplikasi MCMC Nexus untuk membantu memantau kekuatan liputan internet di sesuatu lokasi.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, MCMC akan menjalankan pemantauan secara berterusan di lokasi yang dijangka menyaksikan peningkatan mendadak penggunaan internet bagi memastikan rangkaian kekal stabil.
Menurut beliau, langkah itu penting memandangkan sepanjang tempoh kempen, parti-parti politik dijangka menganjurkan pelbagai ceramah dan perhimpunan yang menghimpunkan ribuan penyokong.
“Kami juga faham bahawa sepanjang kempen, parti-parti politik mungkin akan menganjurkan ceramah atau perhimpunan penyokong yang menyebabkan penggunaan internet meningkat secara mendadak.
“Jadi, MCMC sentiasa bersedia untuk memastikan, tanpa mengira parti yang terlibat, sekiranya terdapat perhimpunan atau acara berskala besar, MCMC akan turun padang bagi memantau keadaan rangkaian internet,” katanya.
Dalam pada itu, Teo menggalakkan orang ramai memuat turun aplikasi MCMC Nexus bagi membantu memantau kekuatan liputan internet di sesuatu lokasi.