Op Tiris 4.0: KPDN Perak rampas petrol, diesel bersubsidi berjumlah hampir RM1 juta

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail/Foto BERNAMA

IPOH, 28 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merekodkan 25 kes penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM956,046 setakat ini, sejak pelaksanaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu) pada 16 Mac lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Serbuan besar di Teluk Intan dan Manjung merampas diesel dalam kuantiti besar, mengelakkan kerugian subsidi yang tinggi kepada kerajaan.
  • Sindiket guna kenderaan diubah suai dengan tangki tambahan dan pemindahan berperingkat, serta simpanan haram bagi mengaburi penguatkuasa.
  • KPDN Perak perhebat risikan, analisis data dan kerjasama rentas agensi bagi memutuskan rangkaian penyelewengan dan memastikan subsidi disalur tepat.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan di Teluk Intan pada 4 Jun lepas, menjadi antara rampasan terbesar yang berjaya direkodkan pihaknya membabitkan 21,840 liter diesel bernilai RM202,211.20.

“Satu lagi kes melibatkan penyelewengan diesel yang berjaya dikesan di Manjung pada 9 April lepas, dengan rampasan sebanyak 5,070 liter diesel bernilai RM56,371.40.

“Kedua-dua kes itu dianggap penting kerana melibatkan kuantiti diesel yang besar selain berpotensi menyebabkan kerugian subsidi yang tinggi kepada kerajaan sekiranya tidak berjaya dikesan lebih awal,” katanya.

Beliau memaklumkan operasi yang digerakkan secara bersepadu dan strategik itu turut mengesan pelbagai modus operandi yang digunakan sindiket dalam usaha mengaburi mata penguat kuasa termasuklah penggunaan kenderaan yang diubah suai dengan tangki tambahan bagi memindahkan diesel secara berperingkat sebelum dijual kepada pihak tertentu.

KPDN turut mengesan aktiviti pemindahan diesel ke lokasi simpanan haram sebelum diedarkan semula kepada rangkaian pembeli yang telah dikenal pasti.

Bagi membanteras aktiviti penyelewengan itu, beliau berkata KPDN Perak akan terus mempergiatkan aktiviti risikan melalui penganalisisan data dan pemantauan corak transaksi dalam rantaian bekalan bagi mengesan sebarang aktiviti mencurigakan dengan lebih awal.

Datuk Kamalludin berkata tindakan penguatkuasaan turut diperkukuh melalui kerjasama rentas agensi melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin, termasuk kawalan di kawasan sempadan serta laluan pengangkutan berisiko.

“Operasi ini bukan sahaja memberikan tumpuan kepada sumber bekalan, malah keseluruhan rantaian pengedaran bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat memutuskan rangkaian aktiviti penyelewengan secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, susulan pelaksanaan Op Tiris 4.0 (Bersepadu) berkenaan, tahap pematuhan syarat lesen dan permit dalam kalangan pemain industri menunjukkan peningkatan, namun pemantauan dan penguatkuasaan akan terus diperhebat bagi membendung aktiviti berkenaan.

“Apabila ketirisan berjaya dikurangkan, subsidi kerajaan dapat disalurkan kepada kumpulan yang layak. Hal ini membantu memastikan peruntukan kerajaan digunakan dengan lebih cekap, mengurangkan pembaziran dana awam dan menjamin kelangsungan dasar subsidi untuk manfaat rakyat,” katanya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.