
KUALA SELANGOR, 28 Jun – Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki terbalik ketika dalam perjalanan pulang selepas memancing ke jeti di Kampung Kuantan, di sini, ditemui meninggal dunia pada Sabtu.
- Mayat ditemui dengan bantuan orang awam pada jam 8.30 pagi, kira-kira 500 meter dari lokasi bot terbalik.
- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan JBPM melibatkan Unit Anjing Pengesan K9 dan Pasukan Penyelamat Di Air.
- Pencarian diperluaskan sehingga radius satu hingga tiga kilometer dari lokasi bot ditemukan terbalik.
- Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses selanjutnya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, mayat mangsa berusia 73 tahun itu ditemui dengan bantuan orang awam pada jam 8.30 pagi kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
“Dalam kejadian pada Khamis lalu, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.47 petang.
“Kejadian membabitkan dua lelaki tempatan berusia 73 dan 49 tahun yang menaiki sebuah bot sebelum bot berkenaan terbalik ketika perjalanan pulang,” katanya.
Ashrul Riezal berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan JBPM dengan membabitkan pelbagai pasukan termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), selain bantuan daripada pihak polis.
Katanya, kawasan pencarian turut diperluaskan sehingga radius satu hingga tiga kilometer dari lokasi bot ditemukan terbalik.
“Memasuki hari ketiga operasi, mayat mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi bot terbalik sebelum dibawa ke Hospital Tanjong Karang,” katanya