PMKS kekal tunjang ekonomi, sumbang hampir 40 peratus KDNK

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 27 Jun – Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terus menjadi pemacu utama ekonomi negara apabila menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menyediakan lebih lapan juta peluang pekerjaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan MADANI komited memastikan PMKS terus berkembang melalui pelbagai program pembangunan dan pembiayaan.
  • Tahun lalu 344 program RM31.63 bil melahirkan 6,600 usahawan baharu dan tingkatkan pengurusan 50,000 PMKS.
  • Tahun ini lebih 300 program berimpak tinggi dengan peruntukan RM60 bilion untuk perkukuh daya saing dan akses pasaran global.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong dalam kenyataan berkata, kerajaan MADANI komited memastikan sektor itu terus berkembang menerusi pelbagai program pembangunan dan pembiayaan.

Katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 344 program pembangunan PMKS dengan peruntukan RM31.63 bilion telah dilaksanakan.

Inisiatif itu berjaya melahirkan 6,600 usahawan baharu, meningkatkan keupayaan pengurusan 50,000 PMKS serta membantu 8,000 perusahaan mendigitalkan operasi masing-masing.

Menurut beliau, momentum itu diteruskan tahun ini menerusi lebih 300 program pembangunan PMKS berimpak tinggi melibatkan peruntukan keseluruhan RM60 bilion.

Usaha berkenaan diyakini mampu memperkukuh daya saing usahawan tempatan serta memperluaskan akses mereka ke pasaran global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.