
PUTRAJAYA, 27 JUN – Usaha kerajaan memperkasa institusi Mahkamah Syariah, termasuk
cadangan penambahbaikan terhadap Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, tidak menjejaskan hak atau kebebasan penganut agama lain.
- Perdana Menteri tegaskan kerajaan mahu menegakkan keadilan tanpa menafikan hak bukan Islam mengurus hal ehwal agama masing-masing.
- Beliau nyatakan mahkamah sivil tidak berhak mengganggu urusan Mahkamah Syariah berkaitan hukum Islam dan masyarakat Islam.
- Cadangan sesi perbincangan khas bersama peguam negara, ketua hakim negara dan hakim Syariah untuk meningkatkan keupayaan serta martabat Mahkamah Syariah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan prinsip utama kerajaan adalah menegakkan keadilan melalui pemerkasaan Mahkamah Syariah, tanpa menafikan hak masyarakat bukan Islam untuk mengurus hal ehwal agama masing-masing.
“Kita tidak sama sekali mahu melanggar hak bukan Islam. Apa yang kita hendak tegakkan ialah keadilan dan tidak menafikan hak bukan Islam dalam urusan agama mereka.
“Mahkamah sivil tidak ada hak untuk mengganggu urusan Mahkamah Syariah mengenai hukum Islam dan masyarakat Islam. Bagi saya, itu sangat adil,” katanya ketika berucap pada
Majlis Perasmian Konvensyen Peguam Syarie 2026 di sini.
Tambah Perdana Menteri, Perkara 121(1A) sejak awal lagi diperkenalkan dengan tujuan memperkukuh bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bukannya mengganggu pelaksanaan undang-undang atau amalan agama bukan Islam.
Jaminan berhubung perkara berkenaan telah diberikan kepada menteri dan pemimpin bukan Islam ketika pindaan berkenaan dibincangkan dengan prinsip itu kekal menjadi asas kepada pendekatan kerajaan sehingga kini.
Bagi memperkasakan institusi kehakiman syariah, Perdana Menteri mencadangkan satu sesi perbincangan khas diadakan melibatkan Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, ketua-ketua hakim Mahkamah Syariah serta wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia.
Katanya, sesi itu penting bagi membolehkan kerajaan meneliti cadangan yang dikemukakan oleh pengamal undang-undang syariah dalam meningkatkan keupayaan serta martabat Mahkamah Syariah.
“Pandangan yang dirasakan perlu dan harus diberi perhatian, saya akan beri keutamaan,” kata beliau.