
PUTRAJAYA, 27 Jun – Keputusan mewartakan 50 ekar tanah di Bandar Malaysia sebagai Tanah Rizab Melayu merupakan langkah penting bagi membela kepentingan Bumiputera yang memerlukan keberanian politik serta kebijaksanaan untuk mendapatkan sokongan semua pihak.
- Kerajaan mengambil alih kawasan Bandar Malaysia selepas projek gagal dan pengurusan diserahkan kepada Khazanah dan PETRONAS.
- Perdana Menteri memanggil pemimpin pelbagai kaum termasuk DAP untuk menerangkan rasional pewartaan bagi mengurangkan salah faham.
- Kementerian Kewangan jalankan kajian pembangunan untuk menyelaraskan projek dengan aspirasi Bandar Malaysia sebagai Hab Perniagaan Antarabangsa.
- Pembangunan dititikberatkan keterangkuman, penempatan berkelompok dekat kemudahan seperti masjid, serta memupuk budaya Melayu dan pemilikan hartanah Bumiputera.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kawasan seluas 480 ekar di Bandar Malaysia diambil alih semula oleh kerajaan selepas projek itu gagal berikutan salah guna kuasa pentadbiran terdahulu sebelum pengurusannya diserahkan kepada Khazanah Nasional Berhad dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
“Saya mahu memperuntukkan 50 ekar sebagai Tanah Rizab Melayu. Nilainya bukan kecil, malah bersamaan kira-kira 5,000 ekar di Kedah. Saya sedar perkara ini boleh menjadi kontroversi jika tidak dikendalikan dengan baik.
“Sebab itu saya memanggil beberapa kepimpinan termasuk DAP untuk menjelaskan rasional keputusan tersebut. Saya tidak merampas tanah milik bukan Melayu kerana tanah ini sememangnya telah menjadi milik kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026, di sini, hari ini.
Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan mengambil pendekatan memberi penjelasan kepada pemimpin pelbagai kaum berhubung rasional pewartaan tersebut bagi mengelakkan salah faham, selain memastikan pelaksanaannya mendapat sokongan semua pihak.
Pada 27 Jun tahun lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan kajian lanjut mengenai strategi pembangunan kawasan seluas 50 ekar itu sedang dilaksanakan bagi memastikan ia selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Bandar Malaysia sebagai Hab Perniagaan Antarabangsa.
Menurut kementerian, beberapa prinsip utama diberi perhatian dalam pembangunan kawasan berkenaan, termasuk mewujudkan penempatan berkelompok berhampiran kemudahan penting seperti masjid, selain memastikan pembangunan yang bersepadu dan tersusun selaras dengan konsep keterangkuman Malaysia MADANI.
Kawasan tersebut juga berpotensi dibangunkan sebagai destinasi yang mempamerkan budaya masyarakat Melayu, di samping memperkasa ekonomi Bumiputera melalui penyediaan lebih banyak peluang pemilikan hartanah di kawasan bandar.
Projek Bandar Malaysia yang terletak di bekas Pangkalan Udara Kuala Lumpur, Sungai Besi dijangka mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM140 bilion.