Kerajaan perkukuh Dasar Peluang Kedua bantu individu bankrap bangkit semula

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di Presint 3, Putrajaya / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 26 Jun – Kerajaan terus memperkukuh pelaksanaan Dasar Peluang Kedua Insolvensi bagi membantu individu yang layak dibebaskan daripada kebankrapan sekali gus memberi peluang kepada mereka memulakan kehidupan baharu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dasar mencerminkan komitmen kerajaan membantu individu menghadapi masalah kewangan kembali menyertai aktiviti ekonomi dan meningkatkan taraf hidup.
  • Karnival Jelajah mendekatkan perkhidmatan Jabatan Insolvensi kepada masyarakat, meningkatkan kesedaran proses pelepasan dan mengurangkan stigma terhadap orang bankrap.
  • Orang ramai boleh dapat semakan status, khidmat nasihat percuma, pameran agensi dan pembidaan aset untuk membantu pembinaan semula kehidupan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dasar itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk membantu individu yang berdepan masalah kewangan kembali menyertai aktiviti ekonomi dan meningkatkan taraf hidup.

“Kerajaan MADANI percaya setiap individu berhak diberi peluang kedua kerana masalah kewangan boleh menimpa sesiapa sahaja akibat kehilangan pekerjaan, kegagalan perniagaan atau cabaran hidup yang tidak diduga,” katanya ketika merasmikan Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, karnival yang akan diadakan secara bersiri di seluruh negara sepanjang tahun ini bertujuan mendekatkan perkhidmatan Jabatan Insolvensi Malaysia kepada masyarakat, selain meningkatkan kesedaran mengenai proses pelepasan kebankrapan dan mengurangkan stigma terhadap individu bankrap.

Menurutnya, orang ramai turut berpeluang mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk semakan status kebankrapan, khidmat nasihat dan konsultasi percuma, pameran agensi kerajaan serta pembidaan aset yang diuruskan Jabatan Insolvensi Malaysia.

Pendekatan itu katanya, sejajar dengan usaha kerajaan memperkasakan sistem insolvensi negara agar lebih inklusif, berperikemanusiaan dan memberi peluang kepada individu yang benar-benar layak untuk membina semula kehidupan mereka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.