
KUALA LUMPUR, 26 Jun– Hari Bekerja Hibrid (HBH) akan menjadi norma baharu dalam Perkhidmatan Awam mulai 1 Ogos ini.
- Penjawat awam dibenarkan bekerja sehingga dua hari seminggu di rumah atau lokasi alternatif dengan kelulusan Ketua Jabatan; selebihnya hadir mengikut keperluan perkhidmatan.
- Perkhidmatan kaunter dan sektor yang memerlukan kehadiran fizikal seperti keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah terus beroperasi biasa.
- HBH sebahagian agenda reformasi untuk budaya kerja berorientasikan hasil, memanfaatkan teknologi digital dan sistem pemantauan; garis panduan pelaksanaan akan diumumkan.
Pelaksanaannya dipersetujui Jemaah Menteri sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan pengaturan kerja yang lebih fleksibel tanpa menjejaskan waktu bekerja.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan, HBH akan menggantikan pengaturan Bekerja Dari Rumah (BDR) Konflik Asia Barat yang sedang berkuat kuasa.
“Menerusi pengaturan baharu itu, penjawat awam dibenarkan bekerja sehingga dua hari seminggu di rumah atau di lokasi alternatif yang diluluskan Ketua Jabatan.
Selebihnya, mereka perlu hadir bertugas di pejabat mengikut keperluan perkhidmatan, kesesuaian fungsi dan syarat yang ditetapkan,” menurut kenyataan JPA.
Bagi negeri yang menjadikan Ahad sebagai Hari Kelepasan Mingguan, Isnin dan Jumaat ditetapkan sebagai hari wajib hadir ke pejabat.
Sementara itu di Kedah, Kelantan dan Terengganu pula, hari wajib hadir ialah Ahad dan Khamis.
“Perkhidmatan kaunter serta sektor yang memerlukan kehadiran fizikal seperti keselamatan, pertahanan, pendidikan, kesihatan dan mahkamah akan terus beroperasi seperti biasa,” menurut kenyataan itu lagi.
JPA menjelaskan, HBH merupakan sebahagian daripada agenda reformasi berterusan kerajaan dalam memodenkan perkhidmatan awam.
Ia bakal memperkukuh budaya kerja berorientasikan hasil dengan memanfaatkan teknologi digital serta sistem pemantauan.
“Inisiatif itu bagi memastikan integriti, prestasi dan penyampaian perkhidmatan kekal pada tahap terbaik,” menurut kenyataan itu lagi.
JPA memaklumkan, garis panduan terperinci serta syarat pelaksanaan HBH akan diumumkan dalam masa terdekat.
Amalan kerja hibrid turut dilaksanakan di beberapa negara termasuk Singapura, Australia, Finland dan Sweden.