
PUTRAJAYA, 26 Jun – Prestasi operasi pelabuhan Persekutuan bagi suku pertama 2026 menunjukkan peningkatan positif meskipun negara berdepan ketidaktentuan geopolitik global.
- Kendalian kontena dicatatkan sebanyak 8,002,113 unit TEU bagi suku pertama 2026.
- Jumlah kendalian kontena meningkat 8.1 peratus berbanding suku pertama 2025.
- Pertumbuhan disokong oleh transshipment yang meningkat 9.96 peratus.
- Kargo konvensional naik 2.9 peratus; kargo am 8.93 peratus dan pukal kering 3.55 peratus; prestasi dibanggakan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kendalian kontena yang direkodkan adalah sebanyak 8,002,113 unit bersamaan 20 kaki (TEU).
Jumlah itu meningkat 8.1 peratus berbanding tempoh sama tahun 2025.
“Ini didorong peranan negara sebagai penghubung utama bagi barangan dunia melalui aktiviti pemunggahan pindah kapal atau transshipment yang mencatat pertumbuhan 9.96 peratus berbanding suku pertama 2025,” katanya pada sidang media mingguan di Putrajaya.
Dalam pada itu, Datuk Fahmi berkata, kargo konvensional turut meningkat 2.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ia melibatkan kargo am yang meningkat 8.93 peratus, selain kendalian pukal kering yang mencatat peningkatan 3.55 peratus.
Beliau menyifatkan prestasi itu sebagai membanggakan, terutama ketika negara berdepan kesan krisis geopolitik Asia Barat.