
KUALA LUMPUR, 26 Jun – Jurulatih perseorangan lelaki negara, Kenneth Jonassen menegaskan fokusnya kekal kepada pembangunan semua pemain walaupun berlaku perubahan dalam perancangan terutama melibatkan Ng Tze Yong.
- Pendekatan latihan bersifat individu, disesuaikan mengikut perjalanan kerjaya dan keperluan setiap pemain.
- Tidak mahu terlalu lama memikirkan Ng Tze Yong, pembangunan skuad mesti terus berjalan seperti biasa.
- Ruang masih terbuka untuk Ng Tze Yong jika mahu kembali, keputusan dihormati dan penyelesaian terbaik dicari.
Beliau berkata, setiap pemain mempunyai laluan karier tersendiri dan pendekatan latihan perlu disesuaikan mengikut keperluan individu.
“Pendekatan saya terhadap pemain sememangnya secara individu. Saya melihat perjalanan karier mereka dan bagaimana mereka boleh mencapai sasaran seterusnya.
“Ada perubahan yang berlaku, tetapi saya akan terus memberi fokus kepada semua pemain seperti yang kami lakukan sepanjang 12 bulan lalu,” katanya.
Kenneth berkata, beliau tidak mahu terlalu lama memikirkan mengenai Tze Yong, sebaliknya mahu memastikan pembangunan skuad negara terus berjalan seperti biasa.
Sebelum ini, Kenneth mengakui keputusan berkaitan Tze Yong bukan sesuatu yang mudah kerana pemain itu mempunyai kualiti serta potensi besar, namun faktor kecederaan memberi kesan kepada perjalanan kariernya.
“Dari sudut peribadi, memang sangat sukar untuk kehilangan pemain dengan kualiti dan potensi seperti beliau.
“Namun kami menghormati proses yang berlaku dan mencari penyelesaian terbaik untuk kedua-dua pihak,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan ruang masih terbuka buat Ng Tze Yong sekiranya pemain itu mahu kembali, sambil memastikan fokus pasukan negara kekal kepada sasaran yang ditetapkan.