
SEOUL, 24 Jun – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengumumkan akan melengkapkan angkatan tentera lautnya dengan senjata nuklear selain membina kapal lebih besar.
- Program melengkapkan Tentera Laut dengan senjata nuklear berjalan lancar, meningkatkan kesiagaan dan keupayaan operasi nuklear negara.
- Pelancaran kapal kelas 5,000 tan Choe Hyon, perancangan Kang Kon, dan rancangan melancarkan kapal strategik seberat 10,000 tan.
- Matlamat strategik menangkis pengaruh AS serta meningkatkan beban dan kos pertahanan Amerika Syarikat dan Korea Selatan.
Lapor media rasmi kerajaan pada Rabu, pelan itu selaras tindakan Pyongyang untuk terus mempergiat pelan peluasan ketenteraannya.
Meskipun berdepan pelbagai sekatan antarabangsa berhubung program nuklearnya, Korea Utara menegaskan pendirian untuk meneruskan hasrat tersebut.
Tegasnya, pemilikan senjata nuklear sebagai elemen penting bagi menghalang ancaman ketenteraan daripada Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.
“Program untuk melengkapkan Tentera Laut dengan senjata nuklear kini berjalan lancar mengikut perancangan tanpa sebarang kegagalan.
Ini merupakan hala tuju strategik yang amat penting kerana ia membolehkan pasukan nuklear negara kita sentiasa bersiap sedia untuk operasi yang pelbagai dimensi dan dan meningkatkan kecekapan,” kata Jong Un ketika pada majlis pentauliahan Choe Hyon—salah sebuah daripada dua kapal perang kelas 5,000 tan yang dilancarkan di bandar pelabuhan Nampho pada Selasa.
Sebelum ini, Korea Utara mendakwa kapal Choe Hyon dilengkapi “senjata paling berkuasa”.
Jong Un juga dilaporkan telah melakukan beberapa siri pemeriksaan ke atas kapal dalam kelas berkenaan tahun ini termasuk menyelia ujian peluru berpandu jelajah dari kapal Choe Hyon pada April lalu.
“Menyusuli Choe Hyon, kita akan mentauliahkan kapal pemusnah Kang Kon untuk operasi tidak lama lagi. Selepas itu, kita akan melancarkan kapal perang strategik seberat 10,000 tan satu demi satu,” tambah beliau.
Di bawah pelan terbaharunya, Korea Utara disasarkan untuk membina sekurang-kurangnya dua kapal setiap tahun yang memiliki kelas lebih tinggi daripada Choe Hyon, termasuk kapal penjajah seberat 10,000 tan.
Dalam pada itu, pakar analisis Korea Utara dari Universiti Kyungnam, Lim Eul-chul berpendapat langkah terbaharu Pyongyang ini bertujuan untuk menyekat pengaruh AS yang merupakan sekutu keselamatan utama Korea Selatan.
“Korea Utara melihat senjata ini sebahagian usaha untuk menghalang campur tangan ketenteraan AS di Semenanjung Korea dengan lebih berkesan sekiranya berlaku konflik,” katanya.
Beliau menambah, sekiranya Korea Utara berjaya menempatkan peluru berpandu jelajah yang dilancarkan dari kapal dan dilengkapi dengan peledak nuklear taktikal, ia akan meningkatkan bebanan serta kos pertahanan yang besar kepada tentera AS dan Korea Selatan.
Ketika ini, Washington menempatkan kira-kira 28,500 anggota tentera di Korea Selatan bagi membantu Seoul mempertahankan diri daripada ancaman ketenteraan Pyongyang. — AFP