
KINSHASA, 23 Jun – Kes jangkitan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) dilaporkan telah melepasi angka 1,000 kes dengan merekodkan lebih 250 kematian sejak ia mula diisytiharkan pada 15 Mei lepas.
- Sebahagian besar kes dikesan di wilayah Ituri, merebak ke Kivu Utara dan Kivu Selatan; konflik menambah cabaran keselamatan.
- WHO isytihar kecemasan kesihatan awam antarabangsa kerana strain Bundibugyo yang jarang, tanpa vaksin khusus kini.
- Vaksin sedia ada hanya efektif untuk strain Zaire; pembendungan dijangka berlarutan bulan lagi disebabkan keselamatan dan kelewatan pengesanan.
Institut Kesihatan Awam Kebangsaan (INSP) negara itu mengesahkan sebanyak 1,003 kes positif dan 254 kematian telah didaftarkan, sekali gus mencatatkan kadar kematian sebanyak 25 peratus setakat ini.
Hampir keseluruhan kes dikesan di wilayah Ituri, sebuah kawasan di timur laut negara itu yang bergolak akibat konflik kumpulan bersenjata, selain merebak ke wilayah jiran iaitu Kivu Utara dan Kivu Selatan yang dihuni sekitar 15 juta penduduk.
Situasi menjadi lebih meruncing selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam antarabangsa berikutan penularan itu berpunca daripada strain Bundibugyo yang jarang ditemui serta tidak mempunyai vaksin khusus buat masa ini.
Vaksin Ebola sedia ada yang dibangunkan antara 2018 dan 2019 disahkan hanya efektif untuk merawat strain Zaire, iaitu sub-jenis virus yang mencetuskan beberapa siri wabak besar sebelum ini.
Selain DRC, virus berbahaya itu turut dikesan merebak ke negara jiran, Uganda, di mana WHO setakat ini merekodkan 20 kes jangkitan dan dua kematian, meskipun pihak berkuasa Kampala sebelum ini memaklumkan situasi di negara itu masih berada di bawah kawalan.
Seorang wakil daripada kumpulan bantuan antarabangsa yang enggan dikenali memberitahu AFP, kelewatan mengesan rantaian jangkitan awal menjadi faktor utama virus berkenaan gagal disekat dengan lebih awal.
“Wabak ini hanya diisytiharkan kira-kira dua bulan selepas kes kematian pertama yang mencurigakan dilaporkan. Sepanjang tempoh itu, penyakit ini telah merebak tanpa sekatan dalam bentuk yang masih belum kami fahami sepenuhnya,” katanya.
Pihak WHO memberi amaran bahawa operasi membendung penularan demam berdarah ini dijangka berlarutan untuk tempoh beberapa bulan lagi, memandangkan faktor keselamatan di kawasan konflik timur laut Congo turut mengehadkan pergerakan pasukan perubatan. – AFP