
KUALA LUMPUR, 20 Jun– Lonjakan Malaysia ke kedudukan ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia berpotensi meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor pembuatan negara.
- Peningkatan kedudukan memperkukuh peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor pembuatan.
- Pencapaian ini memperkukuh tarikan FDI dan membuka peluang pelaburan berkualiti tinggi serta pekerjaan bernilai tinggi.
- Perlu terus tingkatkan infrastruktur, logistik, kemudahan perdagangan, digital, bekalan tenaga dan kelulusan projek untuk kekalkan daya tarikan pelabur.
Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Jacob Lee Chor Kok berkata, pencapaian itu juga mengukuhkan peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global.
Menurut beliau, prestasi tersebut mencerminkan kekuatan Malaysia sebagai ekonomi perdagangan yang kekal kompetitif di peringkat antarabangsa.
“Kedudukan Malaysia dalam perdagangan antarabangsa yang kini berada di tangga kelima dunia turut menunjukkan kekuatan negara sebagai ekonomi perdagangan yang berdaya saing.
Bagi sektor pembuatan, pencapaian ini meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan pengeluaran yang kompetitif,” katanya kepada RTM.
Beliau berkata, pencapaian tersebut turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan langsung asing (FDI) dan membuka ruang kepada lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.
Menurutnya, usaha penambahbaikan perlu diteruskan bagi memastikan negara mampu mencapai sasaran berada dalam kelompok 12 ekonomi paling berdaya saing dunia menjelang 2033.
Antara aspek yang perlu diberi perhatian termasuk pembangunan infrastruktur, kecekapan logistik, kemudahan perdagangan serta kesiapsiagaan tenaga kerja.
Selain itu, prestasi pelabuhan, infrastruktur digital, kebolehpercayaan bekalan tenaga dan kepantasan kelulusan projek perlu terus dipertingkatkan bagi mengekalkan daya tarikan negara kepada pelabur.
“FMM komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan supaya pencapaian ini dapat diterjemahkan kepada lebih banyak pelaburan berkualiti, peluang pekerjaan bernilai tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Sebelum ini, Institut Pengurusan Antarabangsa (IMD) melaporkan Malaysia melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 dalam Penarafan Daya Saing Dunia 2026, sekali gus mencatat pencapaian terbaik negara dalam tempoh lima tahun.