Masjid Al-Falah guna platform sukan, bola sepak tarik remaja imarahkan masjid

Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

SUBANG JAYA, 20 Jun – Program ‘Jom Qiam & Layan Bola’ anjuran Masjid Al-Falah USJ 9 di sini berjaya menarik penyertaan golongan muda ke masjid menerusi pendekatan santai yang menggabungkan aktiviti menonton bola sepak dengan pengisian kerohanian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Biro Pemuda wujudkan ruang alternatif bagi remaja berkumpul secara sihat di masjid.
  • Program gabungkan tazkirah ringkas, solat tahajud berjemaah dan qiamullail tanpa pengisian berat.
  • Sediakan makanan percuma, aktiviti sampingan dan kuiz berhadiah untuk menarik penyertaan belia.
  • Masjid buka kepada semua, rancangkan aktiviti belia seperti futsal, kayuhan, kem ukhuwah dan kejohanan tahunan.

Nazir Masjid Al-Falah, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, program yang dicetuskan Biro Pemuda masjid itu diwujudkan bagi menyediakan ruang alternatif kepada remaja untuk berkumpul secara sihat sambil mendekatkan diri dengan institusi masjid.

Selain menonton perlawanan bola sepak secara beramai-ramai, peserta turut mengikuti tazkirah ringkas serta menunaikan solat tahajud dan qiamullail secara berjemaah.

“Sambil-sambil tengok bola, kita selitkan juga pengisian seperti tazkirah ringkas, selain solat tahajud berjemaah dan qiamullail. Pengisiannya tidak terlalu berat kerana objektif utama program ini adalah untuk menarik minat remaja mendekati masjid.

“Jika pengisiannya terlalu berat, mungkin mereka kurang berminat untuk hadir ke masjid. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Bukan sahaja daripada remaja sekitar USJ, malah ada juga yang datang dari Ampang dan Klang selepas mengetahui mengenai program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM pada ‘Jom Qiam & Layan Bola’ anjuran Masjid Al-Falah USJ 9 di sini hari ini.

Program yang berlangsung antara tengah malam hingga awal pagi itu turut menyediakan makanan dan minuman secara percuma serta pelbagai aktiviti sampingan seperti kuiz dengan hadiah tajaan daripada penyumbang dan penaja.

Usaha tersebut bukan sekadar untuk mengimarahkan masjid, malah membantu mengubah persepsi masyarakat bahawa masjid bukan hanya tempat beribadah, tetapi juga ruang komuniti untuk beriadah, berehat dan membina ukhuwah.

Tan Sri Syed Zainal Abidin berkata Masjid Al-Falah akan terus memperluaskan program berorientasikan belia melalui pelbagai aktiviti termasuk futsal, kayuhan basikal, kem ukhuwah dan pendakian bukit dengan kerjasama pelbagai agensi, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pendidikan.

Pihaknya turut merancang menganjurkan kejohanan futsal antara masjid-masjid di seluruh Subang Jaya pada penghujung tahun ini sebagai acara tahunan bagi menggalakkan penyertaan golongan muda.

Program di Masjid Al-Falah juga terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa sebagai usaha memperkukuh hubungan komuniti serta memperkenalkan masjid sebagai institusi yang mesra masyarakat.

“Muslim atau bukan Muslim, program ini terbuka kepada semua. Kita mahu masyarakat melihat masjid sebagai ruang yang inklusif dan sentiasa terbuka kepada komuniti,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.